Isak mampu imbangi ketiadaan Ekitike

Isak mampu imbangi ketiadaan Ekitike

Liverpool: Kepulangan penyerang Liverpool, Alexander Isak daripada kecederaan mampu mengurangkan impak kehilangan penjaring terbanyak Hugo Ekitike yang terpaksa berehat panjang, kata pengurus Arne Slot menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Everton, Ahad ini.

Ekitike, 23, terpaksa dikeluarkan ketika kekalahan Liverpool kepada Paris Saint-Germain dalam aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah kelmarin selepas tergelincir di atas padang dan mengalami koyakan tendon Achilles.

Liverpool menandatangani Isak dari Newcastle United dengan rekod perpindahan Britain bernilai £125 juta manakala Ekitike dibeli dari Eintracht Frankfurt dengan nilai sehingga £69 juta dalam jendela perpindahan yang sama tahun lalu.

Slot berkata keputusan membawa masuk dua penyerang tengah adalah langkah bijak.

“Kami fikir adalah bijak untuk tidak menjadi satu-satunya kelab yang hanya ada seorang penyerang nombor sembilan.

“Seseorang berkata kepada saya, anda tak boleh tulis skrip begini pada hari Isak kembali selepas empat bulan dan membuat penampilan pertama, seorang lagi (Ekitike) pula meninggalkan padang dengan kecederaan jangka panjang.”

Semalam, Liverpool mengesahkan bahawa penyerang antarabangsa Perancis itu akan terlepas baki musim ini serta Piala Dunia FIFA.

“Dia masih belum menjalani pembedahan. Ia sangat memeritkan buatnya kerana baru menyertai kelab baharu dan sedang memberi impak besar.

“Fikiran pertama saya adalah terhadap dirinya yang perlu berehat lama dan terlepas detik-detik istimewa. Dia bukan pemain pertama atau terakhir melalui perkara ini.

“Terlalu banyak contoh pemain yang kembali lebih kuat, itu cabaran untuknya. Dia mungkin akan jadi salah seorang yang 10 hingga 15 tahun nanti berkata kecederaan itu menjadikannya lebih kuat dan bermain pada tahap lebih tinggi berbanding sebelum ini.”

Pengurus dari Belanda itu menambah bahawa Isak masih belum bersedia beraksi penuh 90 minit, namun Liverpool masih mempunyai pilihan lain seperti Federico Chiesa dan Cody Gakpo.

Menjelang Derby Merseyside, yang pertama kali diadakan di stadium baharu Everton, Liverpool kekal dalam persaingan merebut slot Liga Juara-Juara dengan mengumpul 52 mata di tangga kelima, lima mata di depan Everton yang berada di tempat kelapan.

“Ia sentiasa perlawanan sangat istimewa. Mereka berada dalam prestasi baik ketika ini. Ia sentiasa istimewa, tetapi mungkin tambah satu atau dua peratus lagi kerana ini perlawanan pertama di stadium baharu mereka,” kata Slot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top