am@hmetro.com.my
Rembau: Isu keselamatan serantau dan konflik di Asia Barat selain memperkukuh keterjaminan makanan antara agenda utama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di Manila, bermula esok.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata turut akan dibincangkan ialah berkenaan ketegangan di Laut China Selatan dan peperangan Amerika Syarikat, Israel dan Iran serta pembunuhan yang berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza serta di Tebing Barat.
“Banyak agenda ASEAN yang perlu dibincangkan pada mesyuarat kali ini. Isu keselamatan serantau dan konflik di Asia Barat selain peperangan antara Amerika, Israel dan Iran serta kepentingan rakyat Palestin di Gaza dan juga di Tebing Barat di mana sekarang sudah merebak sampai ke selatan Lebanon.
“Selain itu, pembangunan ASEAN Power Grid (APG) juga antara agenda penting kerana ia adalah inisiatif integrasi tenaga rentas sempadan yang menghubungkan rangkaian elektrik 10 negara Asia Tenggara.
“Macam-macam masalah yang perlu ASEAN buat pendirian susulan dunia yang bergolak sekarang ini… walaupun kita jauh, tapi kesan dia banyak kepada negara kita,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama warga Pusat Daerah Mengundi (PDM), Taman Kelab Tuanku Mambau, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, matlamat utama APG adalah untuk mengukuhkan keselamatan tenaga serantau supaya ada negara yang banyak mengeluarkan tenaga elektrik seperti di Vietnam, Laos, Kemboja, boleh dibawa ke negara lain termasuk Malaysia.
Beliau berkata, ASEAN juga memerlukan satu dasar keterjaminan makanan khususnya berkaitan bekalan beras yang menjadi makan ruji bagi rakyat rantau ini.
“Kita hendak supaya ada suatu dasar keterjaminan makanan ASEAN, terutama bekalan beras. Di negeri mana yang boleh keluarkan beras, siapa boleh keluarkan itu dan ini.
“Kita tak boleh dan tak perlu bersaing. ASEAN sebuah negara dan satu blok negara yang besar dan masing-masing mempunyai kelebihan, maka kita akan gunakan kekuatan masing-masing. Setiap negara anggota mempunyai kekuatan tersendiri dan kelebihan itu perlu dimanfaatkan bagi keterjaminan bekalan makanan serantau,” katanya.
Mohamad dijadualkan menghadiri mesyuarat berkenaan selama tiga hari sehingga Rabu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




