SHAH ALAM – Keadaan cuaca yang baik menjadi ‘pelengkap’ kemeriahan acara Riuh BOLA SINAR x RedONE x RTM apabila peminat bola sepak mula memenuhi pekarangan Restoran Hakim bagi menyaksikan tayangan skrin gergasi perlawanan akhir Piala Dunia 2026.
Seawal petang lagi, orang ramai mula hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi mendapatkan lokasi terbaik untuk menikmati debaran aksi kemuncak kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu.
Suasana sekitar lokasi bertambah meriah dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk cabutan bertuah, permainan gelecek bola sepak, reruai interaktif serta pelbagai pengisian menarik sebelum sepak mula perlawanan.
Meskipun hujan melanda Shah Alam pada sebelah petang, keadaan cuaca kembali reda dan bertambah baik menjelang malam.
Sehingga jam 10 malam, suasana di sekitar Restoran Hakim kekal selesa, sekali gus membolehkan pengunjung terus menikmati kemeriahan acara tanpa ‘gangguan’ cuaca.
Riuh BOLA SINAR x RedONE x RTM menjadi medan himpunan peminat bola sepak tanah air untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah final Piala Dunia 2026 yang menemukan dua gergasi dunia, Sepanyol dan Argentina.
Kemeriahan ‘demam bola’ terus dirasai apabila peminat hadir memenuhi lokasi bagi menyokong pasukan pilihan masing-masing, selain menikmati suasana penuh semangat dan kebersamaan menjelang sepak mula perlawanan akhir Piala Dunia 2026.
Ikuti kemeriahan Riuh Bola SINAR x RedONE x RTM malam ini di Restoran Hakim, Shah Alam.



