bhnews@bh.com.my
Baca juga: Bekas Presiden Paraguay disiasat dalam skandal bank
Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan menjauhi tempat dan kawasan berisiko terutama sungai, air terjun serta kawasan rekreasi air ketika Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Mereka yang bercadang menjalankan aktiviti rekreasi dan riadah, turut dinasihatkan tidak mengambil mudah faktor keselamatan atau mempertaruhkan nyawa dengan mengunjungi kawasan berbahaya ketika hujan lebat dan cuaca tidak menentu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, mereka yang ingin menjalankan aktiviti rekreasi diminta menjauhi kawasan berisiko seperti lombong tinggal, tasik buatan, lombong pasir dan tali air yang bukan kawasan rekreasi.
“Ini kerana lokasi seperti ini mempunyai tebing licin, dasar berlumpur serta kedalaman air yang boleh berubah secara mendadak.
“Mereka juga perlu mematuhi papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa, termasuk larangan memasuki kawasan berbahaya, selain tidak mengambil risiko semata-mata melakukan aktiviti rekreasi.
“Dalam pada itu, pemakaian jaket keselamatan yang diiktiraf, bersesuaian dengan saiz badan dan dikancing dengan betul perlu dijadikan amalan, terutama ketika menaiki bot atau melakukan aktiviti sukan air,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nor Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan serta-merta aktiviti air sekiranya hujan mula turun, guruh berdentum atau angin bertiup kencang.
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu melarang anak-anak bermain air banjir berhampiran longkang besar atau sungai kecil kerana arus di bawah permukaan air boleh menjadi deras dan sukar dijangka.
Katanya, amalan menyemak ramalan cuaca sebelum mengunjungi sungai atau air terjun, adalah penting bagi mengelakkan mengunjungi kawasan rekreasi dan beriadah ketika cuaca buruk.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda kepala air seperti paras air meningkat dengan cepat, air bertukar keruh atau kedengaran deruan kuat dari arah hulu, mereka perlu segera meninggalkan kawasan sungai dan bergerak ke tempat lebih tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terjun ke sungai menyelamatkan mangsa lemas, tanpa mempunyai kemahiran dan latihan menyelamat.
Beliau berkata, tindakan terburu-buru boleh mengundang tragedi lebih buruk apabila individu cuba menyelamatkan mangsa, turut lemas akibat panik atau tidak mempunyai kemahiran berenang.
Katanya, sebaliknya orang ramai disaran menggunakan teknik ‘Reach and Throw’ atau hulur dan lempar dengan memberikan bantuan menggunakan kayu panjang, dahan atau tali kepada mangsa.
Beliau berkata, mereka juga boleh melemparkan pelampung, tong air kosong atau botol plastik besar yang diikat dengan tali untuk membolehkan mangsa berpaut sementara menunggu bantuan tiba.
Katanya, orang ramai perlu segera menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan pasukan penyelamat sekiranya berlaku kejadian lemas.
© New Straits Times Press (M) Bhd