'Jual RM1 ini bukan semata-mata untuk untung'

'Jual RM1 ini bukan semata-mata untuk untung'

Kota Bharu: Tragedi kebakaran yang memusnahkan rumahnya pada 2021 tidak mematahkan semangat seorang peniaga untuk bangkit meneruskan kehidupan, malah menjadi titik permulaan untuk beliau mencari rezeki dengan menjual nasi lemak pada harga hanya RM1 sebungkus.

Adnan Che Kar, 52, atau lebih dikenali sebagai “Abe6”, berkata ujian yang menimpa keluarganya empat tahun lalu mengajarnya untuk lebih menghargai setiap rezeki yang diperoleh walaupun dalam jumlah kecil.

“Saya pernah melalui saat sukar apabila rumah musnah dalam kebakaran pada 2021. Bila diuji begitu, kita belajar untuk lebih bersyukur dengan apa yang ada dan terus berusaha mencari rezeki yang halal,” katanya kepada Bernama.

Berbekalkan semangat untuk memulakan hidup baharu selepas kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran itu, beliau bersama isterinya, Zubaidah Ismail, 51, memulakan perniagaan nasi lemak di Jalan Mahmood, di sini pada, Mei 2023.

Pada awal memulakan perniagaan beliau menghantar nasi lemak ke beberapa kedai untuk dijual, namun kaedah itu tidak dapat diteruskan apabila sebahagian hasil jualan gagal diperoleh walaupun makanan habis dijual.

“Bila letak di kedai, nasi lemak habis tetapi duit jualan tidak diterima sepenuhnya. Keadaan itu menyukarkan kami untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Justeru itu, beliau dan isteri mengambil keputusan untuk berniaga sendiri di tepi jalan dan menjual nasi lemak mereka pada harga hanya RM1 sebungkus.

Walaupun keuntungan yang diperoleh kecil, Adnan berkata beliau tetap berpuas hati kerana sambutan pelanggan amat menggalakkan selain dapat membantu orang ramai mendapatkan sarapan pada harga mampu milik.

“Bagi saya, jual (nasi lemak) RM1 ini bukan semata-mata untuk untung. Saya anggap ia sebagai satu bentuk sedekah kepada orang ramai. Walaupun untung sedikit, saya bersyukur kerana masih ada rezeki,” katanya.

Setiap hari kecuali Sabtu, pasangan itu menyediakan kira-kira 400 bungkus nasi lemak yang dilengkapi ikan bilis, telur rebus, timun dan kacang untuk dijual.

Selain jualan harian, Adnan berkata mereka turut menerima tempahan bagi tujuan infak daripada individu serta badan tertentu dengan jumlah tempahan lazimnya antara 350 hingga 400 bungkus.

Katanya, tempahan terbesar pernah diterima ialah sebanyak 1,000 bungkus daripada Masjid Muhammadi selain beberapa masjid lain di sekitar Kota Bharu.

“Ramai yang buat tempahan untuk diagihkan kepada jemaah masjid, pelajar tahfiz dan golongan memerlukan. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” katanya.

Pada bulan Ramadan pula, beliau memulakan operasi seawal 1 pagi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang membeli nasi lemak untuk bersahur.

Selain itu bagi menambah pendapatan keluarga, Adnan turut bekerja sebagai pemandu teksi bagi perjalanan jarak jauh seperti ke Kuala Lumpur dan Johor.

“Sekarang teksi memang banyak saingan dan disebabkan itulah saya fokus kepada perjalanan jauh dan pada masa sama teruskan perniagaan nasi lemak ini. Saya percaya rezeki itu milik Allah. Selagi mampu, saya akan cuba kekalkan harga RM1 supaya lebih ramai dapat menikmati nasi lemak ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top