KDN perlu tentukan status pelarian

KDN perlu tentukan status pelarian

SHAH ALAM – Tugas memproses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) wajib diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi kerajaan yang terlibat sahaja, bukannya Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), ejen mahupun syarikat third-party.

Demikian antara saranan peguam dan pemerhati isu Rohingya, Norman Fernandez memandangkan KDN dilapor sedang melaksanakan proses DPP di Semenanjung bagi mendapatkan data lengkap jumlah sebenar pelarian serta pemegang kad UNCHR di negara ini.

Norman menegaskan, kementerian tidak boleh sama sekali berfikir mahu melantik mana-mana syarikat third-party atau ejen untuk menguruskannya meskipun diakui langkah mendaftar lebih 200,000 pelarian bukan satu proses mudah.

“Jika kita benar third-party urus DPP, masalah sama akan berulang misalnya pendaftaran tidak teratur malah ada yang beri rasuah untuk ‘permudahkan urusan’ mereka.

“Kita perlu tahu golongan pendatang sangat ingin tinggal di Malaysia dan kalau kita lantik ejen atau syarikat, mereka sanggup bayar berapa sahaja walaupun berhabis wang puluhan ribu.

“Jadi, KDN perlu mengambil alih proses ini sepenuhnya dan kalau terlalu banyak kerja, mungkin boleh pertimbang penambahan pekerja tempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Selain itu, Norman mencadangkan supaya KDN menyekat UNCHR untuk tidak lagi melaksanakan proses pendaftaran pelarian di Malaysia dan berhenti mengiktiraf kad-kad yang dikeluarkan suruhanjaya tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Ia kerana menurut beliau, sehingga kini kerajaan tidak tahu bagaimana UNCHR membuat tapisan walaupun difahamkan ada syarat, proses dan protokol yang mesti dipatuhi.

“Tetapi, pelik apabila angka pelarian meningkat saban tahun. Sekarang KDN mengambil alih proses pendaftaran.

“Ia satu usaha yang betul dan tepat kerana kedaulatan negara perlu dijaga sebaiknya tapi ‘kedaulatan’ itu kita beri kepada UNCHR?

“Memandangkan KDN menerusi JIM sedang mulakan proses DPP, apa yang perlu dibuat sekarang adalah batalkan, jangan iktiraf atau sahkan kad pemegang status UNCHR,” ujarnya.

Norman yang sudah lama melakukan kajian lapangan tentang etnik Rohingya berpandangan, kementerian menerusi JIM wajib membuat pemeriksaan dan tapisan ketat sebelum mengesahkan seseorang itu sebagai pelarian.

“Justeru, laksana proses DPP di Semenanjung dilihat sebagai satu permulaan yang baik meskipun ia patut dilaksanakan sejak dahulu lagi sebenarnya,” jelas beliau.

Sebelum ini, KDN melalui JIM dilapor sedang melaksanakan proses DPP di Semenanjung bagi mendapatkan data lengkap jumlah sebenar pelarian serta pemegang kad UNCHR.

KDN dalam satu kenyataan berkata, kerajaan ketika ini tidak mempunyai data menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada di dalam negara atas kapasiti tersebut meskipun berhadapan dengan kehadiran kedua-dua kumpulan itu sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Berdasarkan statistik UNCHR setakat April 2026, terdapat 219,472 pemegang kad UNHCR di Malaysia yang mana 197,591 daripadanya merupakan warga Myanmar.

Scroll to Top