Kecederaan White jejaskan Arsenal

Kecederaan White jejaskan Arsenal

London: Arsenal menerima tamparan besar selepas pertahanan mereka, Ben White disahkan terlepas baki musim ini akibat kecederaan serius ligamen lutut.

White mengalami kecederaan itu ketika Arsenal menang tipis 1-0 ke atas West Ham United sebelum dikeluarkan pada minit ke-28.

Pemain berusia 28 tahun itu sebelum ini turut beberapa kali diketepikan musim ini akibat masalah kecederaan.

“Pasukan perubatan kami kini sedang menguruskan proses pemulihan dan rehabilitasi Ben dengan semua pihak memberi fokus penuh untuk memastikan dia bersedia menjelang permulaan latihan pramusim nanti,” menurut kenyataan rasmi kelab.

Kecederaan itu menyaksikan White terlepas dua baki aksi Liga Perdana Inggeris musim ini selain final Liga Juara-Juara menentang Paris Saint Germain.

Arsenal ketika ini mendahului Manchester City dengan kelebihan lima mata, namun City masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Ketiadaan White turut memberi masalah besar kepada pengendali Arsenal, Mikel Arteta memandangkan seorang lagi pertahanan kanan, Jurrien Timber juga masih dibelenggu kecederaan.

Pada masa sama, White kini berpaut harapan untuk pulih tepat pada masanya menjelang Piala Dunia 2026 yang bermula 11 Jun depan.

White kembali menyarung jersi England pada Mac lalu ketika aksi persahabatan menentang Uruguay yang berakhir 1-1 dan turut menjaringkan gol walaupun dia menerima sorakan negatif daripada sebahagian penyokong.

Dia turut beraksi dalam aksi persahabatan menentang Jepun selepas kembali bersama skuad England buat kali pertama sejak meninggalkan kem Piala Dunia 2022 dan mengasingkan diri daripada tugasan antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top