KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan hak penduduk asal akan terus dipertahankan menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), sekali gus menepis dakwaan bahawa usaha itu bermotifkan agenda perkauman atau memenuhi kepentingan pemaju.Beliau berkata, undang-undang itu amat diperlukan bagi membolehkan kawasan perumahan yang daif, khususnya di Kuala Lumpur dibangunkan semula berikutan kesukaran melaksanakan pembangunan berkenaan sebelum ini kerana memerlukan persetujuan 100 peratus penghuni.Bagi mengatasi kekangan itu, Anwar berkata, kerajaan menetapkan ambang persetujuan antara 70 hingga 80 peratus, namun hak penduduk yang tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan semula tetap dilindungi.”Kalau nak kata 100 peratus setuju, itu tak jalanlah perumahan. Tapi kalau kita tetapkan 70 peratus, 80 peratus, tetapi dengan memberi jaminan kepada yang tidak bersetuju tapi masih bagi hak kepada mereka. Itu yang kita putuskan.”Tetapi kalau tanya saya, saya tidak sanggup melihat perumahan begitu daif di Kuala Lumpur ini. Jadi harus dilakukan sesuatu dan perlu undang-undang dengan jaminan, ini saya setuju, jaminan yang jelas pertahankan hak penduduk asal,” katanya pada program ’Dialog Negara’ yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan RTMKlik malam ini.Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.Mengenai usaha menyediakan kediaman lebih selesa, Anwar berkata, kerajaan sedang membangunkan beberapa kawasan dan tanah baharu di Kuala Lumpur serta bandar-bandar besar menerusi konsep pembangunan Madani.”Beberapa tanah dan kawasan-kawasan baharu yang kita bangunkan yang saya sebut pembangunan Madani di Kuala Lumpur dan kota-kota besar, itu sedang diselenggarakan.”Dalam saya ingat bulan Disember, Januari saya akan luncurkan beberapa projek perumahan yang mengambil masa tentunya dua tiga tahun tapi sekarang sudah hampir siap. Itu yang telah dapat dimulakan,” katanya.Anwar turut memberi jaminan bahawa kediaman baharu yang dibangunkan akan jauh lebih selesa, selain menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan pemaju gagal mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang perjanjian dimeterai.Beliau berkata, ketegasan itu penting bagi meredakan kebimbangan penduduk berikutan pengalaman lepas apabila terdapat projek perumahan yang terbengkalai sekian lama tanpa tindakan tegas diambil.Sementara itu, Anwar menolak dakwaan bahawa RUU berkenaan merupakan strategi kaum tertentu untuk menguasai kawasan perumahan, sambil menegaskan Kerajaan Madani komited mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.”Kali pertama dalam sejarah sejak merdeka, tanah di Kuala Lumpur disahkan sebagai tanah rizab Melayu, 50 ekar permulaan. Itu belum pernah berlaku. Jadi soal kita nak tolak ansur dengan tuntutan gerombolan pemodal, tak mungkin,” katanya.Barisan panel pada program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.Turut serta ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.- Bernama
RUU Pembaharuan Semula Bandar jamin hak penduduk asal terus dipertahankan – Anwar
Malay News | https://www.malay.news/ruu-pembaharuan-semula-bandar-jamin-hak-penduduk-asal-terus-dipertahankan-anwar/