Rabat: Perbicaraan terhadap 18 penyokong bola sepak Senegal yang didakwa terbabit dalam insiden hooliganisme ketika perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) minggu lalu dibuka di sebuah mahkamah Maghribi.
Bagaimanapun, hakim menangguhkan prosiding berkenaan sehingga 29 Januari bagi memberi masa kepada pihak pembelaan dan pihak sivil menyediakan kes masing-masing, kata peguam bela, Naima El Guellaf.
Sumber kehakiman memaklumkan kepada AFP bahawa kesemua 18 penyokong Senegal itu ditempatkan dalam tahanan reman susulan insiden yang mengganggu perlawanan akhir kejohanan di Rabat, yang menyaksikan Maghribi tewas 0-1 kepada Senegal selepas masa tambahan.
Sumber sama turut memaklumkan seorang warga Algeria ditahan berkaitan kes berkenaan, namun peguamnya, Jaouad Benaissi, berkata, anak guamnya adalah warganegara Perancis berketurunan Algeria.
Beberapa minit sebelum tamat perlawanan, sekumpulan penyokong Senegal didakwa cuba menceroboh padang, manakala pemain Senegal menghentikan perlawanan hampir 20 minit sebagai bantahan terhadap keputusan penalti lewat yang diberikan kepada Maghribi.
Ketika kekecohan itu, beberapa penyokong turut membaling objek ke dalam padang, termasuk sebuah kerusi.
Dalam kes berasingan, sebuah mahkamah di Rabat menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas seorang penyokong Algeria atas kesalahan ‘kelakuan tidak sopan di tempat awam’ ketika satu lagi perlawanan Afcon, selepas dia memuat naik video mendakwa membuang air kecil di tempat duduk penonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




