'Kepulangan yang menyedihkan' – Empat sekeluarga maut nahas pulang dari majlis tahlil, doa selamat

'Kepulangan yang menyedihkan' – Empat sekeluarga maut nahas pulang dari majlis tahlil, doa selamat

am@hmetro.com.my

Kluang: Empat sekeluarga yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalana Renggam-Simpang Renggam, tengah hari tadi sempat menghadiri majlis tahlil dan doa selamat salah seorang ahli keluarganya di Melaka, Sabtu lalu.

Menurut cucunya, Nurul Hidayah Kamarruddin, 29, arwah neneknya Semek Mat Soh, 73, bersama ibu dan bapa saudaranya Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, turut bermalam di rumahnya.

“Saya mengadakan majlis tahlil dan doa selamat memandangkan mendiami rumah baru, jadi mereka berempat datang dan bermalam di rumah saya pada hari terbabit.

“Keesokan hari (Ahad) sekitar jam 9 pagi, mereka bergerak pulang ke Kota Tinggi tetapi sebelum itu, mereka juga berhasrat untuk singgah di rumah salah seorang ahli keluarga kami di Kampung Alai, Merlimau.

“Arwah mak cik dan pak cik menjemput nenek dan Nur Airish Syifa di Terengganu memandangkan cuti panjang termasuk sambutan Aidiladha. Mereka berdua (nenek dan Nur Airish Syifa) sepatutnya pulang ke Terengganu hujung minggu ini.

“Namun apakan daya, kepulangan mereka dalam keadaan menyedihkan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom hari ini.

Katanya lagi, dia hanya mengetahui tragedi itu selepas menerima panggilan daripada salah seorang ahli keluarga pada jam 2.40 petang.

Tambahnya, sebaik menerima berita mengejutkan itu, dia terus berhubung dengan ibunya, Shazariza Othman, 52, di Terengganu bagi memaklumkan perkara ini.

“Mereka beritahu nenek sekeluarga kemalangan dan pada masa sama, mereka cakap semuanya sudah tiada. Saya hanya terdiam sebaik dimaklumkan kesedihan itu,” katanya.

Menurutnya lagi, arwah neneknya dijaga bergilir-gilir oleh adik beradik ibunya selepas mengalami angin ahmar pada badan sebelah kanan.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, empat sekeluarga maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam nahas membabitkan lima kenderaan.

Kesemua mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang Toyota Vios.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah Aiman dan Nor Azlina di Kota Tinggi.

Aiman dan Nor Azlina bekerja dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dekat Sedili.

Berita berkaitan:

‘Bapanya baru meninggal dunia, hari ini dia, isteri, mentua, anak saudara pula pergi’ – Ibu saudara

4 maut, 2 cedera nahas 5 kenderaan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top