
Raja Nushirwan.
TUMPAT – Kerajaan sedang mempergiat usaha mendapatkan sumber bekalan bahan api dari pelbagai negara sebagai langkah persediaan menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang boleh menjejaskan rantaian bekalan tenaga dunia.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, usaha itu dilaksanakan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi memastikan keperluan bahan api negara terus terjamin meskipun dunia berdepan konflik dan ketegangan yang berlarutan.
Menurut beliau, perkembangan semasa di peringkat antarabangsa memerlukan kerajaan mengambil langkah lebih proaktif bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga negara.
“Bekalan bahan api negara mencukupi hingga Ogos dan sekarang ini kita sedang mencari sumber bahan api di serata dunia untuk memastikan bekalan bahan api negara mencukupi.
“Alhamdulillah, usaha ini menunjukkan perkembangan yang positif dan kami berharap langkah tersebut akan terus membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesepaduan Nasional@Tumpat di Wat Machimmaram di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, selain memastikan kecukupan bekalan, kerajaan turut memperketatkan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan bahan api yang boleh menyebabkan ketirisan subsidi serta menjejaskan bekalan domestik.
Menurutnya, pendekatan yang diambil kerajaan melibatkan pelbagai aspek termasuk pengurusan bekalan, kawalan sempadan dan kerjasama antara agensi bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya menggunakan bahan api secara berhemah dan mengelakkan pembaziran bagi membantu usaha kerajaan mengurus keperluan tenaga negara dengan lebih berkesan.
“Selain usaha kerajaan, masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan menggunakan bahan api secara berhemah dan mengelakkan pembaziran,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik global dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang risiko yang boleh menjejaskan bekalan tenaga negara dapat ditangani lebih awal.



