SHAH ALAM – Kerajaan menyangkal dakwaan bahawa kanak-kanak migran dan pelarian termasuk komuniti Rohingya di negara ini dilayan secara tidak berperikemanusiaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, tuduhan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan hak kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar dilaksanakan kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.
Menurut kementerian itu, pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan kebajikan serta perlindungan golongan terbabit terus terpelihara, termasuk melalui penyediaan Baitul Mahabbah dan pembangunan kerangka Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak yang lebih menyeluruh.
“Sehingga 28 Februari lalu, enam Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan seramai 188 kanak-kanak, termasuk tujuh kanak-kanak tanpa penjaga atau yang terpisah daripada keluarga.
“Baitul Mahabbah adalah langkah peralihan dilaksanakan kerajaan sementara kerangka inisiatif alternatif kepada penahanan kanak-kanak yang lebih menyeluruh diperhalusi KDN bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, aktivis Rohingya, Noor Azizah mengeluarkan kenyataan tidak berasas dengan mendakwa etnik itu ditindas di Malaysia ketika berucap dalam satu program di sebuah universiti di Australia.
Noor Azizah mendakwa lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya di negara ini kini ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi berbanding berada di dalam bilik darjah.
Bagaimanapun, KDN menegaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama kementerian itu telah melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memastikan kebajikan kanak-kanak migran dan pelarian terus diberi perhatian.
Menurutnya, Baitul Mahabbah berfungsi sebagai penempatan sementara yang lebih sesuai untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
KDN memaklumkan, inisiatif berkenaan membolehkan mereka dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dijalankan.
Tambah kenyataan itu, kanak-kanak yang ditempatkan di Baitul Mahabbah turut diberikan akses kepada keperluan asas, penjagaan kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas serta kemudahan riadah yang bersesuaian dengan umur dan keadaan mereka.
Dalam masa sama, kerajaan merancang untuk memperluaskan kapasiti dan skop Baitul Mahabbah secara berperingkat, termasuk melibatkan kategori umur kanak-kanak yang lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan serta keperluan perlindungan.
KDN turut menyeru semua pihak, termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan agar memainkan peranan lebih proaktif dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu migrasi paksa.
Menurut kementerian itu, fokus tidak seharusnya tertumpu kepada kritikan terhadap negara penerima semata-mata, sebaliknya perlu turut merangkumi usaha menangani punca sebenar yang mendorong berlakunya migrasi paksa.
Tambahnya, penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia yang membabitkan komuniti rentan seperti Rohingya merupakan cabaran keselamatan dan kemanusiaan yang kompleks serta merentas sempadan.



