Kes pemain B-12 meninggal dunia: Polis tunggu siasatan makmal, teliti sejarah perubatan

Kes pemain B-12 meninggal dunia: Polis tunggu siasatan makmal, teliti sejarah perubatan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan mahupun lebam mencurigakan ke atas mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai kejohanan bola sepak, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, terdahulu, kanak-kanak itu dibawa ke sebuah hospital swasta di Bandar Dato’ Onn di sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebaik sahaja tidak sedarkan diri.

“Pada jam 11.44 pagi, kanak-kanak berkenaan dibawa ke hospital, namun pegawai perubatan hospital mengesahkan dia telah meninggal dunia.

“Pemeriksaan fizikal ke atas mayat mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau lebam yang mencurigakan.

“Proses bedah siasat kemudian dilakukan pada hari yang sama jam 6 petang bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah ‘pending laboratory investigations’ (menunggu siasatan makmal).

Terdahulu, Azrul Hisham berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dibuat bapa kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai eksekutif pada jam 12.59 tengah hari semalam.

“Lelaki tempatan berusia 38 tahun itu memaklumkan, kira-kira jam 10 pagi, anaknya jatuh pengsan secara tiba-tiba ketika sedang bermain bola sepak di padang bola dalam kawasan Ekoflora itu,” katanya.

Azrul Hisham berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk melihat kepada sejarah perubatan mangsa.

“Klasifikasi kes ini juga boleh berubah sekiranya laporan bedah siasat atau bukti baharu menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian ini untuk menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182323.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh mengganggu siasatan pihak polis serta mengaibkan keluarga mangsa.

Hari ini, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 Tahun (B-12), semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Danish Hizqeel Mohd Hanif adalah pemain bagi pasukan ‘Shining Academy’, sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Pasir Gudang.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan tiba-tiba rebah ketika sedang beraksi di padang dan disahkan meninggal dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top