Tokyo: Kazuyoshi Miura berikrar untuk membuktikan dia masih berbisa pada usia 58 tahun apabila bekas penyerang antarabangsa Jepun itu bersiap sedia mengharungi musim profesional ke-41 dalam karier bola sepaknya.
Miura, yang dikenali sebagai “King Kazu”, menyertai pasukan divisyen ketiga, Fukushima United, secara pinjaman selama enam bulan menjelang musim baharu yang bermula awal Februari ini.
Penyerang yang bakal menyambut ulang tahun ke-59 bulan depan itu berkata, dia mahu membalas kepercayaan pasukan baharunya dengan jaringan dan bantuan gol.
“Penyerang boleh menjaringkan gol atau melalui tempoh sukar, dan anda perlu ada gambaran menjaringkan gol dalam fikiran,” katanya kepada wartawan pada majlis pengenalan rasmi di Tokyo.
“Sukar untuk meletakkan sasaran angka, tetapi saya pasti mahu menjaringkan gol dan mencipta bantuan,” tambahnya.
Miura memulakan debut profesional pada 1986 bersama kelab Brazil, Santos, dan turut beraksi di Itali, Croatia, Australia serta Portugal.
Beliau antara tokoh penting yang meletakkan bola sepak Jepun di peta dunia ketika Liga J profesional dilancarkan pada 1993.
Musim lalu, Miura beraksi bersama kelab divisyen keempat, Atletico Suzuka, dengan membuat lapan penampilan tanpa jaringan ketika pasukan itu tersingkir ke liga serantau Jepun selepas menamatkan liga di kedudukan kedua tercorot dan tewas dalam perlawanan playoff.
Tampil kemas mengenakan sut dengan rambut kelabu gelap tersisir rapi, Miura berkata dia mahu “memberi sumbangan” kepada pasukan baharunya.
“Di mana sahaja saya bermain, cabarannya tetap sama. Saya amat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menyahut cabaran ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




