LATEST

KPT digesa perjelas rasionalisasi operasi UiTM Tawau

KPT digesa perjelas rasionalisasi operasi UiTM Tawau

am@hmetro.com.my

Baca juga: Jauhi kawasan rekreasi berisiko ketika MTL – Ketua Pengarah JBPM

Kota Kinabalu: Cadangan rasionalisasi operasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau perlu diperjelaskan bagi memastikan institusi itu tidak kehilangan identiti dan fungsi akademiknya, meskipun diberi jaminan tidak akan ditutup.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menjelaskan perancangan menjadikan kemudahan kampus berkenaan sebagai hab pendidikan yang turut membabitkan institusi lain.

Beliau berkata, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan memberi jaminan kampus itu tidak akan ditutup, masih timbul persoalan mengenai masa depan sebenar institusi terbabit.

“Mengekalkan sebuah kampus bukan sekadar memastikan bangunannya terus digunakan untuk tujuan pendidikan.

“Apa yang lebih penting ialah memastikan identiti institusi, fungsi akademik, peluang pengajian serta peranannya kepada masyarakat setempat terus dipertahankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa KPT memberikan jaminan jelas bahawa cadangan rasionalisasi tidak akan menyebabkan kampus berkenaan kehilangan identiti, fungsi akademik dan kedudukannya sebagai kampus UiTM di pantai timur Sabah.

“Sebarang perancangan yang membabitkan masa depan kampus ini perlu mengambil kira pandangan Kerajaan Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni serta masyarakat setempat.

“Pendirian saya jelas. UiTM Tawau mesti dikekalkan, diperkukuh dan terus diberikan peranan yang bermakna dalam pembangunan pendidikan tinggi di pantai timur Sabah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news