KOTA BHARU – Kerajaan memantau kesan krisis Asia Barat terhadap sektor pekerjaan susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, aspek pekerjaan antara perkara yang diberi perhatian selain memastikan bekalan negara kekal terjamin serta memantau pergerakan inflasi.
“Kami melihat dari segi bekalan minyak untuk kita bertahan sehingga hujung tahun, selain memantau pergerakan inflasi barang-barang supaya tekanan kepada masyarakat itu tidak dirasai secara keseluruhan.
“Kami juga melihat mereka yang dibuang kerja atau yang mendapat pekerjaan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Malam Mesra Kontraktor sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kelantan kali ke-49 di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Mohd Shahar berkata, situasi krisis Asia Barat ketika ini masih sangat dinamik dan sukar diramalkan, justeru kerajaan sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, pemantauan dibuat selama 24 jam melalui agensi berkaitan dan mesyuarat akan diadakan sekiranya terdapat perkara mendesak yang memerlukan tindakan segera.
“Setakat hari ini, kami bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut mengambil langkah memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan krisis menerusi Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global yang dibangunkan khusus untuk tujuan berkenaan.
Menurutnya, papan pemuka itu menyediakan maklumat berkaitan perkembangan semasa bagi membantu rakyat mendapatkan maklumat daripada satu sumber dengan lebih mudah.
“Kerajaan akan terus memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dengan memantau pelbagai aspek yang berpotensi memberi kesan kepada kehidupan rakyat susulan perkembangan krisis di peringkat global ini,” katanya.
