Vancouver: Ribuan penyokong Kanada berarak menuju ke Stadium BC Place sambil menyanyikan lagu dan mengibarkan bendera negara mereka menjelang aksi menentang Switzerland dalam saingan Piala Dunia 2026.
Dalam suasana penuh semangat, lautan merah putih memenuhi jalan-jalan di Vancouver bagi memberikan sokongan kepada tuan rumah bersama kejohanan itu yang memburu tempat ke pusingan 32 terbaik buat kali pertama dalam sejarah.
Kehadiran penyokong yang begitu ramai membuktikan bagaimana bola sepak semakin mendapat tempat di hati rakyat Kanada, walaupun negara itu lebih sinonim dengan sukan hoki ais.
Setiap perlawanan yang berlangsung di Vancouver setakat ini turut mencatat kehadiran penuh penonton.
“Bola sepak adalah sukan paling ramai disertai di Kanada dan keadaan itu sudah berlaku sejak 20 tahun lalu.
“Orang ramai mengenali kami sebagai negara hoki ais, tetapi hakikatnya kami juga sebuah negara bola sepak,” kata penyokong Kanada, Mike Robson.
Menurutnya, mereka hadir untuk menunjukkan sokongan terhadap pasukan kebangsaan dan percaya Kanada mampu menewaskan Switzerland bagi melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama.
Perarakan itu turut menyaksikan penghormatan istimewa diberikan kepada pemain tengah Kanada, Ismael Kone yang mengalami patah kaki ketika kemenangan besar 6-0 ke atas Qatar minggu lalu.
Penyokong mengangkat poster bernombor lapan sebagai tanda sokongan kepada pemain berusia 24 tahun itu.
Ketua pasukan penganjur perarakan, Jamie MacLuad berkata, mereka mahu memastikan Kone dan seluruh pasukan mengetahui bahawa penyokong sentiasa berdiri teguh di belakang mereka.
“Dalam perlawanan lalu, Kone mengalami kecederaan serius dan patah kaki. Kami mahu menunjukkan sokongan kepada beliau dan pasukan.
“Kami mahu mereka tahu bahawa apa juga yang berlaku, kami sentiasa bersama mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




