MAKKAH – Lebih 1.5 juta jemaah dari seluruh dunia mula menunaikan ibadah haji di Arab Saudi tahun ini, ketika suasana serantau dilaporkan masih berdepan ketidaktentuan susulan gencatan senjata rapuh dalam konflik Iran serta tekanan krisis tenaga global.
Komander Pasukan Pasport Haji, Saleh bin Saad al-Murabba, memaklumkan bahawa angka kemasukan jemaah ke Arab Saudi telah melepasi 1.5 juta orang setakat Jumaat, dan jumlah itu dijangka terus meningkat dalam beberapa hari akan datang.

Jemaah Muslim dilihat bergerak di sekitar kompleks Masjidil Haram di kota suci Makkah pada 24 Mei 2026. Foto AFP
Bagi kebanyakan umat Islam, perjalanan ke Makkah merupakan impian sepanjang hayat yang menjadi kenyataan, selain dianggap sebagai salah satu ibadah paling bermakna dalam kehidupan.
Seorang jemaah dari Mesir, Samya Abdul Moneim, meluahkan rasa syukur dan terharu apabila berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah yang diwajibkan sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
“Saya rasa saya berada dalam keadaan penuh keberkatan dan kebahagiaan. Ia satu perasaan yang sukar digambarkan, benar-benar luar biasa,” katanya di Makkah.
Dalam pada itu, sebelum bergerak ke Kota Tenda di Mina, para jemaah dilihat mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram dalam keadaan cuaca panas terik.

Jemaah wanita berdoa ketika tiba di kawasan Kaabah di Masjidil Haram, Makkah. Foto AFP
Sebahagian mereka menggunakan payung dan kipas tangan bagi mengurangkan kepanasan, sementara sukarelawan turut mengagihkan air serta bantuan penyejukan.
Walaupun mencabar dari segi fizikal, ramai jemaah menyifatkan ibadah haji sebagai pengalaman yang memberi kesan mendalam dari sudut spiritual.
Seorang jemaah dari Amerika Syarikat, Youssef Chouhoud, menyifatkan haji sebagai ‘proses reset kehidupan’ yang penuh ujian namun sangat bermakna.
“Ini adalah antara perkara paling sukar yang pernah saya lakukan, tetapi ia sangat berharga. Tiada perkara yang benar-benar bermakna itu datang dengan mudah,” katanya.

Umat Islam berkumpul menunaikan solat di sekitar Kaabah, Masjidil Haram. Foto AFP
Beliau turut menzahirkan inspirasi apabila melihat jemaah lain saling membantu dan berlumba-lumba melakukan kebajikan sepanjang perjalanan ibadah tersebut.
Perjalanan ibadah haji tahun ini turut berlangsung ketika Amerika Syarikat, Iran dan sekutu serantau dilaporkan sedang membincangkan satu persefahaman yang berpotensi membuka semula Selat Hormuz serta meredakan krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik di rantau berkenaan.
Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik, para jemaah dilihat tetap tabah dan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan iman masing-masing.
Kemuncak ibadah haji dijadualkan berlangsung di Padang Arafah pada Selasa ini, di mana jemaah akan berwukuf, berdoa memohon keampunan serta mengingati insan tersayang di tanah air masing-masing. – Agensi



