SIRI 2
syafil.syazwan@hmetro.com.my
MAMPU bermain alat muzik, menyanyi dengan baik dan berlakon dengan penuh penghayatan, maka ramai yang mengaitkan bakat versatil Khir Rahman sebagai impak ‘genetik’.
Ini memandangkan dia adalah anak kandung kepada pasangan legenda Pop Yeh Yeh, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan dan Allahyarham Datin Azizah Mohamad.
Namun, mengaitkan kejayaan Khir dengan kelebihan ‘kabel’ keluarga adalah satu tanggapan yang tersasar jauh.
Anak seni ini menegaskan dia membesar sama seperti anak-anak yang lain, tanpa sebarang laluan mudah.
“Zaman saya dahulu mana ada istilah ‘nepo baby’ atau guna ‘kabel’. Arwah Abah bukannya jenis yang suka tarik atau tolak anak-anak masuk industri. Saya berusaha sendiri dari bawah.
“Masa kecil, saya langsung tidak tahu Abah itu penyanyi popular. Saya cuma tahu Abah ini dikenali ramai apabila saya masuk sekolah menengah sekitar 1980-an, sewaktu Abah anjurkan Konsert Malam Himpunan Penyanyi 60-an,” katanya.
Walaupun bapanya mempunyai syarikat produksi sendiri dan pernah bertugas di TV3, Khir langsung tidak pernah ditawarkan jalan mudah.
Dia mengakui terpaksa melalui fasa merangkak dari pentas teater Universiti Sains Malaysia (USM), berlakon satu babak dalam filem Anak Mami, sebelum perlahan-lahan mendaki tangga industri.
Namun, perjalanan seni Khir tidak sentiasa mulus. Ada satu fasa hitam dalam hidupnya di mana rasa kecewa terhadap kualiti produksi drama televisyen (TV) tempatan mengatasi segalanya.
Kerana terlalu berilmu dan lantang mempertahankan kualiti, Khir mengaku dia pernah berada dalam fasa ‘sombong’ sehingga mengambil keputusan ekstrem untuk berhenti berlakon.
“Masa umur muda dahulu, saya sombong. Saya rasa diri ada pelajaran seni, jadi saya banyak protes di set penggambaran apabila tengok hasil kerja yang tidak berkualiti. Sampai satu tahap, saya jadi marah dan benci nak tengok TV.
“Saya cakap pada diri, lebih baik saya pergi kerja buruh binaan, angkat batu kat tapak kontrak. Biar saya buat kerja yang saya tiada ilmu, supaya saya tidak merungut,” katanya.
Keputusan Khir untuk ‘membuang’ karier lakonan dan mahu menjadi buruh binaan akhirnya sampai ke pengetahuan arwah bapanya. Di situlah berlaku satu peristiwa yang mengubah hidup Khir buat selamanya.
Mengingati detik penuh emosi itu, Khir berkata, arwah bapanya memberikan satu teguran tajam yang terus melekat dalam fikirannya sehingga ke hari ini.
“Abah cakap pada saya, ‘Khir, dalam hidup ini ada orang sombong sebab harta. Ada orang sombong sebab rupa, dan ada orang sombong sebab ilmu. Kalau kau rasa kau ada ilmu dan berbakat, kenapa kau mesti sombong?
“Abah tanya lagi, ‘Bakat yang Allah beri ini dalam bidang seni. Kalau kau ‘balik’ esok dan Allah tanya apa kau buat dengan bakat kau, kau nak jawab kau pergi angkat batu?
“Kata-kata Abah itu buat saya rasa seperti terhantuk,” katanya.
Tersedar daripada keangkuhan jiwa muda, Khir bangkit semula. Dia menyediakan resume peribadi melangkah semula menghantar profilnya ke 50 syarikat produksi yang berdaftar di FINAS.
Ironinya, daripada 50 syarikat yang dikunjunginya, satu pun tidak memberi maklum balas.
Namun, kuasa Tuhan mendahului segalanya apabila rezekinya akhirnya terbuka luas menerusi uji bakat filem epik Puteri Gunung Ledang (2004) yang kemudiannya membawanya terbang lebih tinggi.
ESOK: Pentas komedi semakin tak sihat, Khir undur diri
© New Straits Times Press (M) Bhd




