Maresca mahu City terus mengganas di padang

Maresca mahu City terus mengganas di padang

Liverpool: Pengendali Manchester City, Enzo Maresca mahu anak buahnya terus mencipta ‘bising’ menerusi kemenangan di atas padang bagi mengatasi gangguan susulan keputusan siasatan yang mendapati kelab itu bersalah atas lebih 100 pertuduhan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dalam aksi pertama selepas keputusan mengejutkan itu diumumkan, City membuktikan mereka tidak terjejas dengan ketidaktentuan mengenai kemungkinan hukuman apabila mengetepikan suasana tegang di Anfield untuk menewaskan Liverpool yang beraksi dengan 10 pemain, 3-0, Ahad lalu.

Maresca memulakan tugas mencabar menggantikan Pep Guardiola dengan cemerlang apabila memenangi kesemua lapan perlawanan dalam semua pertandingan, sekali gus membantu City melebarkan jurang tiga mata di puncak EPL.

Bagaimanapun, hala tuju cabaran kejuaraan City berkemungkinan bergantung kepada keputusan rayuan kelab itu terhadap keputusan suruhanjaya bebas berkenaan.

“Situasi ini bukan mudah untuk pemain selepas dua atau tiga minggu kebelakangan ini, tetapi mereka mengendalikannya dengan sangat baik.

“Saya berkata sepanjang minggu bahawa kami perlu belajar menangani gangguan dari luar, tetapi pada masa sama mencipta bising sendiri, iaitu dengan memenangi perlawanan.

“Penyokong kami menyanyi pada penghujung perlawanan. Jadi, bising itu datang daripada kami,” katanya.

City memanfaatkan sepenuhnya kelebihan selepas pemain Liverpool, Ryan Gravenberch dilayangkan kad merah pada minit ke-60, sekali gus mengubah momentum perlawanan.

Erling Haaland, Jeremy Doku dan Rayan Cherki masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh 13 minit selepas Gravenberch diperintahkan keluar padang, sekali gus membantu City meraih kemenangan di hadapan penyokong Anfield buat kali kedua saja sejak 2003.

“Menang 3-0 di Anfield sememangnya keputusan yang hebat. Ketika ini, seluruh organisasi memerlukan kemenangan seperti ini.

“Ia bagus untuk barisan kejurulatihan, pemain dan organisasi. Kemenangan seperti ini memberi manfaat kepada seluruh kelab,” katanya.

Maresca turut menolak tanggapan bahawa sambutannya terhadap kemenangan itu akan dibayangi ketidaktentuan mengenai sama ada tiga mata berkenaan akhirnya memberi kesan pada penghujung musim.

“Anda tidak dapat bayangkan betapa gembiranya saya.

“Saya di sini untuk membuat persiapan perlawanan dan memenanginya. Saya berharap dapat bercakap mengenai situasi ini selepas kami memenangi rayuan,” katanya.

Kekalahan itu pula menjadi yang pertama buat Andoni Iraola selaku pengurus Liverpool, namun kelab Merseyside itu kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu dan menghuni tangga kesembilan.

Liverpool turut terjejas akibat ketiadaan tiga pemain yang cedera, Dominik Szoboszlai, Alexander Isak dan Cody Gakpo.

Bagaimanapun, Iraola berpendapat Liverpool adalah pasukan lebih baik sebelum Gravenberch dilayangkan kad merah kontroversi selepas menerima dua kad kuning dalam tempoh singkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top