Maja cipta sejarah, jumpa Mirra di final Terbuka Perancis

Maja cipta sejarah, jumpa Mirra di final Terbuka Perancis

Paris: Pemain ranking ke-114 dunia, Maja Chwalinska mencipta sejarah Terbuka Perancis apabila menjadi pemain pertama daripada pusingan kelayakan dalam era profesional yang berjaya mara ke final Roland Garros, awal pagi tadi.

Pemain Poland berusia 24 tahun itu menewaskan Diana Shnaider 7-6 (7/4), 6-4 pada separuh akhir untuk menempah pertemuan dengan sensasi Rusia berusia 19 tahun, Mirra Andreeva yang terlebih dahulu menyingkirkan Marta Kostyuk.

Sekiranya berjaya menewaskan Mirra pada final esok, Maja akan menjadi wanita kedua dalam era Terbuka yang muncul juara Grand Slam selepas bermula dari pusingan kelayakan, mengikut jejak Emma Raducanu di Terbuka Amerika Syarikat 2021.

Maja menyifatkan kemaraan luar biasanya di Paris sebagai seperti mimp selepas menewaskan pilihan ke-25 kejohanan itu, Diana yang sehari sebelumnya mengejutkan pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka.

“Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Saya benar-benar tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Maaf, saya cuma sangat gembira,” katanya sambil menerima sorakan gemuruh penonton di Gelanggang Philippe Chatrier.

Ini merupakan penampilan pertama Maja dalam undian utama Roland Garros dan dia kini memenangi sembilan perlawanan sepanjang kempen tiga minggu yang bermula dari tiga pusingan kelayakan bulan lalu.

Namun, dia mengakui keadaan fizikalnya tidak berada pada tahap terbaik selepas perlawanan separuh akhir yang berlangsung selama dua jam 10 minit.

“Memang sangat mencabar bermain menentang pemain terbaik dunia setiap hari, tetapi ini Grand Slam dan anda perlu memberikan yang terbaik setiap hari. Tetapi saya langsung tidak merungut,” katanya.

Sebelum kejohanan ini, Maja hanya pernah memenangi satu perlawanan Grand Slam daripada dua penampilan, iaitu di Wimbledon 2022, selain hanya memiliki dua kemenangan peringkat jelajah di gelanggang tanah liat.

Dalam perjalanan ke separuh akhir, dia menewaskan juara Olimpik Zheng Qinwen, pilihan ke-23 Elise Mertens, bekas pemain nombor tiga dunia Maria Sakkari, pemain tuan rumah Diane Parry serta pilihan ke-22 Anna Kalinskaya.

Chwalinska dijangka melonjak sekurang-kurangnya ke ranking tertinggi karier, iaitu nombor 21 dunia.

Selepas memenangi set pertama menerusi tie-break, set kedua berlangsung sengit sehingga Diana meminta rawatan urutan belakang ketika kedudukan 4-3. Selepas permainan bersambung, Maja memenangi tiga permainan berturut-turut untuk mengesahkan kemenangan.

“Saya benar-benar terkejut. Ia gabungan kegembiraan dan kejutan,” katanya mengenai perasaannya selepas menghasilkan pukulan forehand kemenangan pada mata perlawanan pertama.

Kekalahan itu menamatkan kempen terbaik Diana di Grand Slam.

“Saya sangat bangga dengan apa yang saya capai di sini. Maja bermain luar biasa dan dia memang layak menang serta berada di final,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Terdahulu, Andreeva melangkah ke final Grand Slam pertama dalam kariernya selepas menundukkan Marta 6-1, 6-3 dalam masa hanya 76 minit.

Pemain remaja Rusia itu sebelum ini tewas dua kali kepada Marta musim ini, termasuk dalam final Terbuka Madrid, namun kali ini berjaya membalas dendam dengan bergaya.

“Saya sangat fokus sehingga boleh nampak bulu-bulu halus pada bola,” kata Mirra sambil ketawa.

“Saya sangat gembira dengan cara saya bermain. Saya juga berjaya membalas kekalahan di Madrid dan kini berada dalam final Grand Slam pertama saya.”

Kemenangan itu menjadikan jumlah kemenangan Mirra sepanjang musim 2026 meningkat kepada 35, terbanyak dalam Jelajah WTA setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top