Manzambi sah terlepas aksi Argentina

Manzambi sah terlepas aksi Argentina

Kansas City: Switzerland menerima tamparan hebat menjelang aksi suku akhir Piala Dunia menentang juara bertahan, Argentina, apabila terpaksa beraksi tanpa penjaring utama, Johan Manzambi yang masih dibelenggu kecederaan lutut.

Jurulatih Murat Yakin mengesahkan pemain tengah itu gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang turut menyaksikannya terlepas aksi pusingan 16 terbaik ketika Switzerland menewaskan Colombia menerusi penentuan penalti.

“Kami sudah mencuba segala-galanya untuk membolehkan dia kembali beraksi, namun malangnya dia tidak mampu bermain esok.

“Johan Manzambi masih mengalami kesakitan yang teruk. Ia satu tamparan buat kami semua kerana dia sedang berada pada prestasi terbaik dan sentiasa menikmati permainannya,” kata Yakin.

Manzambi muncul tonggak penting Switzerland dalam kempen kali ini selepas meledak tiga gol dan mencipta dua bantuan jaringan.

Sementara itu, kapten Granit Xhaka menolak dakwaan bahawa rakan sepasukannya terlalu menghormati Lionel Messi sehingga hanya mahu mendapatkan jersi bintang Argentina itu selepas perlawanan.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap bekas penjaga gol Jerman, Jens Lehmann yang mendakwa pemain Switzerland terlalu mengagungkan Messi dan kurang yakin mampu menewaskan juara dunia itu.

“Kami tidak boleh mengawal apa yang orang lain katakan mengenai kami. Apa yang penting ialah membuktikan kemampuan di atas padang. Itu sahaja yang menjadi fokus kami,” kata Xhaka.

Yakin pula percaya cara terbaik untuk mengehadkan pengaruh Messi ialah memastikan Argentina tidak menguasai bola.

“Jika kami menguasai bola, Messi tidak akan mempunyai banyak peluang untuk mencipta ancaman. Kami akan bermain sebagai satu pasukan, melakukan tekanan tinggi dan cuba menghalang mereka daripada mengawal permainan,” katanya.

Switzerland melakar sejarah mara ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 72 tahun dan Xhaka menyifatkan aksi menentang Argentina sebagai antara detik paling bermakna dalam kariernya bersama skuad kebangsaan.

“Ini bukan soal membalas dendam selepas kekalahan pada 2014. Kami berada di suku akhir dan mahu menang. Kepada penyokong Switzerland, teruslah bermimpi kerana impian boleh menjadi kenyataan jika kami sanggup bekerja keras, berkorban dan melangkaui had kemampuan sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top