BELGRADE – Seorang model glamor warga Rusia ditemukan maut di dalam sebuah beg pakaian selepas dilaporkan hilang ketika bercuti di Serbia, menurut laporan akhbar The Sun UK.
Mangsa, Lyudmilla Turkova, 28, sebelum itu dilaporkan tidak dapat dikesan selama enam hari selepas kali terakhir bertemu beberapa rakannya di sebuah kelab malam di Belgrade, ibu negara Serbia.
Mayatnya ditemui selepas penduduk setempat mengesan sebuah objek mencurigakan yang dibuang ke dalam Terusan Vizelj sebelum segera memaklumkan penemuan tersebut kepada pihak polis.

Mayatnya ditemui selepas penduduk setempat mengesan sebuah objek mencurigakan yang dibuang ke dalam Terusan Vizelj sebelum segera memaklumkan penemuan tersebut kepada pihak polis. Foto AFP
Setakat ini, polis masih belum mendedahkan punca sebenar kematian atau kaedah pembunuhan mangsa.
Berikutan siasatan yang dijalankan, pihak berkuasa menahan seorang lelaki warga Turkiye yang dikenali sebagai K.E. di Lapangan Terbang Nikola Tesla, Belgrade ketika dipercayai cuba meninggalkan Serbia. Lelaki itu disyaki mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membunuh Turkova di sebuah pangsapuri sewa di kawasan Borca.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Institut Perubatan Forensik untuk menjalani proses bedah siasat,” menurut kenyataan polis. – Agensi.



