MCA gesa PAC siasat kerugian pelaburan KWAP dalam eFishery

MCA gesa PAC siasat kerugian pelaburan KWAP dalam eFishery

SHAH ALAM – MCA menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan siasatan berhubung kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Ketua Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, siasatan itu perlu meliputi aspek proses pelaburan, kelulusan yang diberikan serta kecukupan rangka kerja tadbir urus sebelum hasilnya dibentangkan di Parlimen.

Menurutnya, penggunaan dana awam mesti tertakluk kepada penelitian Parlimen bagi memastikan wujud akauntabiliti yang telus dan menyeluruh.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan yang jujur, siasatan yang telus, dan tindakan sewajarnya sekiranya kelemahan atau kegagalan dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Quin Er berkata, pengesahan kerajaan bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan tidak seharusnya menamatkan persoalan berkaitan akauntabiliti, sebaliknya memerlukan penelitian yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan melalui jawapan bertulis di Parlimen bahawa KWAP diperdaya menerusi manipulasi laporan kewangan eFishery, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun di Indonesia.

“Jika proses usaha wajar benar-benar dipatuhi ketika pelaburan dibuat, persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana laporan kewangan yang dimanipulasi boleh melepasi proses semakan tanpa dikesan,” katanya.

Tambah beliau, terdapat dua angka berbeza dikemukakan berhubung kegagalan pelaburan tersebut.

Katanya, laporan media menyebut kerugian hampir RM200 juta, iaitu angka yang turut dirujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjelaskan bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan.

“Kedua, KWAP sendiri memaklumkan bahawa pendedahan sebenar pelaburannya ialah RM163.4 juta bagi pegangan sebanyak 2.51 peratus.

“Percanggahan angka ini perlu diperjelaskan kerana akauntabiliti tidak boleh bergantung kepada maklumat yang masih belum diselaraskan antara kerajaan dan KWAP,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab menjelaskan isu itu lebih penting memandangkan Anwar memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terhadap KWAP.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau mempertahankan bahawa proses pelaburan telah dilaksanakan dengan sewajarnya. Sebagai Menteri Kewangan pula, beliau juga bertanggungjawab terhadap KWAP.

“Beliau tidak boleh mengesahkan bahawa proses tersebut adalah betul, tetapi pada masa yang sama menafikan tanggungjawab apabila KWAP akhirnya menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Quin Er berkata, Lembaga Pengarah KWAP, Panel Pelaburan serta pengurusan tertinggi perlu menjelaskan bagaimana pelaburan itu diluluskan selain mekanisme kawalan yang digunakan ketika keputusan dibuat.

“Sekiranya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati berlaku kecuaian atau pelanggaran tanggungjawab fidusiari, tindakan sewajarnya mesti diambil,” katanya.

Pada masa sama, MCA menggesa Kementerian Kewangan membentangkan pelan pembaharuan rangka kerja pelaburan KWAP di Parlimen dengan garis masa yang jelas.

“Ia merangkumi penetapan had pendedahan dan penumpuan pelaburan yang mengikat bagi modal teroka berisiko tinggi di luar negara, pengesahan bebas terhadap penyata kewangan syarikat penerima pelaburan sebelum sebarang komitmen dibuat.

“Selain itu, pelaburan bersama hanya dengan pengurus utama yang telah melalui proses saringan, pemantauan berasaskan pencetus risiko yang dilaporkan kepada Lembaga Pengarah, serta mandat yang jelas untuk memelihara modal simpanan persaraan,” tambahnya.

Scroll to Top