Muhammad Azeem Fahmi buka musim 2026 dengan emas 60m

Muhammad Azeem Fahmi buka musim 2026 dengan emas 60m

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia membuka tirai musim 2026 dengan langkah kanan apabila pemegang rekod kebangsaan acara pecut, Muhammad Azeem Fahmi, merangkul pingat emas acara 60 meter (m) lelaki pada Kejohanan Jemputan Dalam Dewan UAB Blazer Invite, semalam.

Dalam final berkenaan, Azeem mempamerkan larian bertenaga untuk mencatat masa 6.60 saat (s), sekali gus menewaskan Omari Lewis dari Trinidad dan Tobago yang merekodkan 6.66s, manakala tempat ketiga menjadi milik pelari Amerika Syarikat, Nikoby Jahnson dengan catatan 6.74s.

Ia satu permulaan yang baik untuk pelari itu yang menjadi sandaran negara dalam acara riben biru itu di Sukan Asia Jepun, dari 19 September hingga 4 Oktober 2026 selepas menarik diri daripada Sukan Sea Thailand, Disember lalu.

Kejayaan itu mengukuhkan lagi reputasi Azeem dalam acara 60m selepas mencipta sensasi sepanjang musim lalu apabila memecahkan rekod kebangsaan 6.56s yang dilakukan di Texas pada 1 Mac 2025.

Manakala pencapaian terbaik Azeem 100m adalah merangkul emas pada Kejohanan Terbuka India di Bhubaneswar, India dengan catatan 10.35s dan emas di Kejohanan Tiger Track Classic menerusi masa 10.28s.

Kejayaan terbaru di UAB Blazer Invite itu dilihat sebagai petanda awal kesediaan Azeem untuk menggalas cabaran besar negara dalam musim baharu, selain menyuntik keyakinan kem pecut kebangsaan menjelang kejohanan utama antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top