firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kepulangan semula Arif Aiman Hanapi ibarat suntikan besar buat Harimau Selatan selepas pemain sensasi itu kembali beraksi pada final Piala Malaysia menentang Kuching City FC, malam tadi.
Menurut Munoz, Arif Aiman adalah pemain utama pasukan dan beliau percaya JDT pasti mampu tampil lebih hebat sekiranya pemain sayap kebangsaan itu tidak dibelenggu kecederaan panjang musim ini.
“Anda boleh bayangkan jika kami memiliki Arif sepanjang musim ini kerana dia adalah pemain terbaik dan pemain paling penting buat pasukan.
“Saya sangat gembira dengannya. Semua staf sudah bekerja keras bersama Arif selama lima bulan untuk memastikan dia kembali pulih.
“Dia bekerja dengan sangat baik dan malam ini dia kembali dengan persembahan yang luar biasa. Saya hanya boleh mengucapkan tahniah kepadanya,” katanya.
Arif sebelum ini terpaksa berehat panjang hampir 186 hari akibat kecederaan sebelum kembali membuat penampilan pada pertengahan babak kedua final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Kepulangan semula pemain sayap itu di atas padang turut menyaksikan dia meledak gol kedua pasukan pada masa kecederaan selepas sebelum itu Marcos Guilherme memecah kebuntuan dengan jaringan pertama sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0.
Lebih manis, Arif Aiman turut diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Munoz turut optimis Arif Aiman akan menjadi senjata lebih berbisa buat Harimau Selatan musim depan sekiranya terus berada pada tahap terbaik.
“Saya yakin musim depan kami akan lebih menikmati permainan bersama Arif,” katanya.
Dalam masa sama, jurulatih dari Sepanyol itu turut menyifatkan kempen musim ini sebagai sesuatu yang cukup luar biasa buat JDT selepas berjaya memenuhi hampir semua sasaran yang ditetapkan.
“Musim ini sangat menakjubkan buat kami. Pasukan berjaya mencipta sejarah dalam saingan Liga Juara-Juara dan kami juga mencapai semua objektif kecil sepanjang musim ini.
“Saya sangat bangga dengan pemain kerana mereka sentiasa bekerja keras dan memberikan komitmen tinggi dalam setiap perlawanan,” katanya.
Kejayaan JDT malam tadi adalah yang keempat berturut-turut dan keenam sejak 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd




