MyDIGITAL buka peluang lebih besar

Hari ini, pendigitalan menyentuh setiap bahagian kehidupan kita yang mempengaruhi cara manusia bekerja, berbelanja, melancong, mendidik, mengurus dan menjalani kehidupan.

Situasi ini sama ada suka atau tidak atau dalam keadaan sukar sekali pun, teknologi digital perlu berada dalam kehidupan seharian kita hampir secara total!

Ia selaras dengan hasrat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang menetapkan misi penting untuk menjadikan negara sebagai peneraju yang menerajui ekonomi digital menerusi naratif Malaysia 5.0.

Perubahan ke arah ekonomi digital ini bakal memberi manfaat khasnya kepada rakyat, sektor perniagaan dan kerajaan secara umumnya.

Norma baharu

Kini, tingkah laku pengguna ketika berbelanja juga telah berubah dan dimanfaatkan hampir sepenuhnya di platform e-dagang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain dapat memutuskan rantaian Covid-19, kita dapat menjimatkan masa dan tidak perlu beratur untuk melalui Standard Operating Procedure (SOP) di kedai-kedai atau pusat membeli-belah.

Biasanya harga akan lebih kompetitif dan pengguna lebih mudah membandingkan harga untuk setiap produk yang sama tetapi daripada jenama dan pengeluar yang berbeza.

Pada masa ini, kaedah pembayaran yang ditawarkan dalam pembelian dalam talian semakin bervariasi dan terjamin sekali gus mengelakkan kita daripada berurusan dengan mereka yang berkemungkinan dijangkiti dan positif.

Golongan peniaga bangkit dan mula beroperasi secara dalam talian. Amalan transformasi digital kini digunakan hampir sepenuhnya dalam konteks perniagaan.

Apabila banyak perusahaan dan syarikat melakukan transformasi digital, maka dapat menghadirkan pengalaman baru buat para pelanggan yang tentunya menjadi aspek penting untuk ekonomi tumbuh semula dan berkembang.

Prestasi ini sekali gus membuktikan ekonomi digital hari ini sangat mengagumkan, berkembang hebat dan pantas.

Banyak usahawan dalam talian yang dimonopoli golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mula menikmati hasil peningkatan jualan masing-masing selepas kerugian hingga 80 peratus.

Rata-ratanya berpuas hati kerana usaha mempromosikan produk tanpa henti menggunakan medium dalam talian akhirnya membuahkan hasil walaupun pada mulanya ramai yang tidak yakin perniagaan mereka mampu bertahan akibat PKP.

Ia juga mampu mengembalikan peluang pekerjaan kerana syarikat tidak perlu membuang pekerja atau mereka yang terjejas boleh memulakan kehidupan dengan memulakan perniagaan atas talian.

Pelancaran MyDIGITAL

Ekonomi digital ialah ekonomi yang berasaskan teknologi digital. Ekonomi Thomas Mesenbourg menjelaskan, terdapat tiga komponen utama yang dikenalpasti dapat mendirikan konsep ekonomi digital:

* Infrastruktur e-perniagaan (perkakasan, perisian, rangkaian dan sebagainya).

* e-perniagaan (bagaimana perniagaan tersebut dijalankan melalui rangkaian berbantukan komputer).

* e-dagangan (peralihan atau pengangkutan bahan yang sedang dijual beli).

Tidak dinafikan bahawa kemajuan teknologi menawarkan alternatif-alternatif baru dalam model interaksi sama ada antara individu mahupun masyarakat, termasuk dalam hubungan aktiviti ekonomi dan perdagangan.

Dalam perkembangan dunia yang semakin pesat, teknologi baharu turut muncul dan membangun. Ekonomi digital juga mempunyai kaitan rapat dengan konsep masyarakat tanpa tunai (cashless society) iaitu salah satu daripada teknologi baharu yang muncul.

Teknologi dan digital adalah tentang masa hadapan kita dalam dunia yang pantas berubah. Kita perlu bersiap sedia untuk meneroka serta merebut lebih banyak peluang menerusi platform digital.

Usaha kerajaan tingkatkan kemampuan digital ketika pandemik:

* Internet 1GB percuma setiap hari untuk menyokong aktiviti e-pembelajaran dan produktiviti.

* Memanfaatkan AI dan Big Data dalam menguruskan penyebaran Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

* Platform agregator pekerjaan digital sebagai peluang kerjaya digital dengan bakat berpotensi yang dikenali sebagai #MyDigitalWorkforce.

* Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) melalui Google Microsoft dan Apple.

* Proses berteknologi untuk mempercepatkan urusan seperti contoh, aplikasi perjalanan dan e-dompet.

Sumber- Sinar Harian

Malay News
Technology Desk