New Age Movement: Amanah Terengganu lulus usul siasat Marhamah

New Age Movement: Amanah Terengganu lulus usul siasat Marhamah

​KUALA TERENGGANU – Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Terengganu 2026 pada Sabtu meluluskan usul mendesak agar satu siasatan menyeluruh, telus dan mendalam dilakukan terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli yang dikaitkan dengan isu New Age Movement (NAM).

​Usul asal yang dicadangkan oleh Amanah Kawasan Kuala Terengganu itu pada mulanya mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan khidmat Timbalan Menteri berkenaan.

Bagaimanapun, usul dibentangkan oleh perwakilan Kuala Terengganu, Wan Suhami Wan Mamat tersebut kemudiannya dipinda semasa persidangan berlangsung.

​Menurutnya, langkah berkenaan mengambil kira keresahan serta persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung dakwaan penglibatan atau kaitan dengan fahaman NAM.

​”Satu siasatan berautoriti perlu dilaksanakan bagi menentukan fakta sebenar serta memberikan penjelasan kepada masyarakat umum.

“​Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat asas terhadap dakwaan berkenaan, tindakan tegas dan sewajarnya hendaklah diambil selaras dengan undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, ​langkah itu penting bagi memelihara kewibawaan institusi agama, menjaga keyakinan masyarakat, selain melindungi nama baik serta integriti Kerajaan Madani daripada terus terpalit dengan dakwaan yang belum diperjelaskan secara tuntas.

​Terdahulu, isu penularan fahaman NAM pernah dibangkitkan oleh Jabatan Mufti Pahang tahun lalu apabila ia mula menyusup ke dalam masyarakat Islam melalui platform motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif, dan pembangunan spiritual.

​Muftinya, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dilaporkan berkata, gerakan tersebut mudah meresap ke dalam kursus pembangunan kendiri, seminar healing, dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral, namun sebenarnya membawa ajaran terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

​Mengulas lanjut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini turut dilaporkan mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Timbalan Menteri berkenaan bagi membincangkan perkara terbabit.

 

 

Scroll to Top