Madrid: Bintang Sepanyol, Dani Olmo menegaskan dia tidak menerima permohonan maaf penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala susulan insiden pergaduhan fizikal antara mereka selepas final Piala Dunia, minggu lalu.
Ayala dilihat meletakkan tangannya di leher Olmo selepas Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 pada aksi final, ketika tercetus kekecohan sebaik wisel penamat ditiup.
Ayala memberitahu Valencia Capital Radio pada Rabu lalu, beliau “sememangnya” menyesali insiden itu, namun pada masa sama mempertahankan tindakannya.
“Ia lebih kepada satu tolakan, bukannya tumbukan seperti yang diperkatakan orang ramai,” kata Ayala sebelum menambah: “Ia adalah reaksi terhadap sesuatu yang dikatakannya, itu saja. Jika saya bertemunya, sudah tentu saya akan memohon maaf secara bersemuka.”
Bagaimanapun, Olmo menjelaskan kepada akhbar Catalan, Diari de Terrassa mengapa dia tidak menerima permohonan maaf itu, sambil mempertikaikan versi cerita Ayala.
“Seseorang yang berkata beliau meminta maaf tetapi pada masa sama cuba membenarkan tindakannya dengan mengatakan ia berpunca daripada satu komen, sebenarnya tidak benar-benar menyesal kerana beliau berbohong.
“Saya langsung tidak berkata apa-apa kepadanya, jadi beliau tidak perlu meminta maaf kepada saya.
“Apa yang benar-benar mencerminkan diri kita bukanlah kesilapan yang dilakukan, tetapi keberanian untuk mengakuinya dengan rendah hati, jujur dan bermaruah.”
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini sedang menjalankan siasatan terhadap insiden selepas perlawanan yang membabitkan kedua-dua pasukan itu, khususnya tindakan pemain tengah Argentina, Leandro Paredes yang bertelagah dengan beberapa pemain Sepanyol.
“Apabila anak-anak saya, keluarga saya dan semua penyokong menyaksikan perlawanan itu, saya mahu mereka berbangga dengan cara kami bersaing, cara kami menang dan yang paling penting, dengan tingkah laku kami kerana bola sepak mempunyai pengaruh besar dan kami sebagai pemain menjadi contoh kepada kanak-kanak serta generasi baharu. Tanggungjawab itu amat besar,” kata Olmo.
Olmo, 28, yang beraksi bersama Barcelona memulakan enam daripada lapan perlawanan Sepanyol di Piala Dunia kali ini serta mencipta dua bantuan gol.
© New Straits Times Press (M) Bhd




