PELAKSANAAN bekerja dari rumah (BDR), subsidi bersasar dan bantuan tunai dilihat antara langkah penting yang perlu diperkukuhkan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup sekiranya harga minyak global terus meningkat.
Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat, Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata, langkah kawalan inflasi dan subsidi sedia ada sememangnya membantu dalam jangka pendek, namun penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan kelestarian dasar itu dalam jangka panjang.
Katanya, subsidi bersasar, bantuan tunai serta program Jualan Rahmah masih relevan ketika ini, namun bantuan kerajaan tidak seharusnya diberikan secara menyeluruh.
“Kerajaan perlu menggunakan sistem penyasaran yang lebih berkesan dengan memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah dan pihak yang benar-benar memerlukan.
“Sektor seperti perkhidmatan e-hailing dan logistik yang menggunakan kenderaan secara harian serta terdedah secara langsung kepada kenaikan harga bahan api juga perlu diberikan perhatian khusus,” katanya kepada Bisnes Metro.
Beliau berkata demikian ketika mengulas unjuran inflasi 2026 antara 1.5 hingga 2.5 peratus yang dijangka meningkat secara sederhana berikutan peningkatan kos global termasuk harga komoditi dan tenaga.
Selain itu, Juliana berkata, pemantauan harga barangan perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan harga kekal stabil memandangkan kerajaan sudah menyediakan bantuan dan subsidi kepada sektor tertentu.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan pelaksanaan BDR khusus dalam sektor perkhidmatan bersesuaian diteruskan dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.
Katanya, langkah itu mampu membantu mengurangkan kos perjalanan harian serta penggunaan bahan api dalam kalangan pekerja.
“Selain subsidi, pendekatan jangka panjang seperti memperkukuh sistem pengangkutan awam serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan bahan api secara berhemah perlu dipertingkatkan.
“Rakyat juga perlu lebih peka terhadap peningkatan kos sara hidup dengan memberi fokus kepada keperluan berbanding kehendak serta mengamalkan perbelanjaan lebih berhemat,” katanya.
Namun, menurutnya kenaikan harga bahan api seperti RON97 dan diesel menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan inflasi selain caj elektrik yang turut meningkat ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




