PDRM siasat insiden pegawai kanan VAT 69 maut ketika latihan menyelam

PDRM siasat insiden pegawai kanan VAT 69 maut ketika latihan menyelam

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Semporna: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden membabitkan pegawai Unit VAT 69 Komando Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, yang meninggal dunia semasa menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian akan dijalankan.

“Ia termasuk penilaian terhadap prosedur latihan, penggunaan peralatan serta faktor kesihatan dan keselamatan, selaras dengan peraturan dan tatacara operasi standard yang ditetapkan.

“Seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin.

“Semoga keluarga Allahyarham diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Khairil Azhar dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.25 pagi, Allahyarham yang berusia dalam lingkungan 40-an, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam yang dijalankan di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pulau Mataking.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top