mhafis@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan penghargaan kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena persaraan beliau selepas 35 tahun menabur bakti dalam pasukan menerusi Majlis Malam Mes ‘Dining Out’ yang berlangsung di sebuah hotel di Bandar Sunway, malam tadi.
Majlis anjuran Mes Pegawai Kanan PDRM itu bertemakan ‘Leadership Defined, Legacy Endures’ sebagai simbol penghormatan terhadap kepimpinan, integriti dan dedikasi Ayob Khan sepanjang perkhidmatannya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, Ayob Khan adalah seorang pemimpin yang tegas dan lantang dalam menegakkan undang-undang serta sentiasa berpaksikan integriti dan profesionalisme tanpa mengira pangkat atau darjat.
“Pemilihan tema pada majlis ini membawa pengertian bahawa kepimpinan membentuk jati diri seorang pemimpin, manakala nilai, prinsip dan sumbangan yang ditinggalkan akan terus hidup sebagai legasi yang menginspirasikan generasi penerus PDRM.
“Nilai kepimpinan yang dipamerkan Tan Sri Ayob Khan sepanjang perkhidmatannya akan terus menjadi inspirasi dan panduan kepada seluruh warga Sang Saka Biru dalam melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri isteri beliau, Puan Sri Dr Munirah Che Rose selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia.
Dalam ucapan balasnya, Ayob Khan menitipkan pesanan kepada seluruh warga PDRM supaya sentiasa mengutamakan keadilan dan tidak terlalu mengejar kedudukan.
“Jangan terlalu sibuk mengejar siapa yang duduk di atas sehingga terlupa siapa yang sedang memandang dari bawah.
“Masyarakat tidak menilai berapa banyak bintang di bahu kita. Mereka menilai sejauh mana kita berlaku adil,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan tayangan video khas yang mengimbau perjalanan kerjaya serta sumbangan Ayob Khan sepanjang 35 tahun berkhidmat, selain penyampaian cenderamata penghargaan sebagai simbol penghormatan atas jasa, pengorbanan dan khidmat baktinya.
Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus bersama isteri, Datin Seri Zanilatul Kamariah Zakaria, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, barisan Ketua Polis Negeri serta pesara PDRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




