RHB Islamic, Yayasan Ikhlas sedia air bersih, tenaga solar di Sabah

RHB Islamic, Yayasan Ikhlas sedia air bersih, tenaga solar di Sabah

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: RHB Islamic Bank memperuntukkan RM300,000 bagi membiayai Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan Tenaga Solar di Kampung Telinting Papar, Sabah, serta menyediakan kemudahan asas kepada kira-kira 130 penduduk daripada 30 isi rumah.

Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Ikhlas itu bertujuan memperluas akses kepada bekalan air bersih dan kemudahan lampu berkuasa solar, selaras dengan komitmen bank berkenaan dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pembangunan mampan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali berkata, penyediaan kemudahan asas seperti air bersih dan tenaga adalah asas penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Beliau berkata, projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan bank untuk mewujudkan impak sosial yang berkekalan kepada komuniti yang memerlukan.

“Kami percaya pembangunan sesebuah komuniti bermula apabila keperluan asas masyarakat dapat dipenuhi. Akses kepada air bersih dan bekalan tenaga adalah elemen penting dalam meningkatkan taraf hidup.

“Semoga usaha yang dilaksanakan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang membawa manfaat bukan sahaja kepada Kampung Telinting, malah komuniti lain di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan berhubung projek itu, baru-baru ini.

Menurutnya, RHB Islamic akan terus menyokong program pembangunan komuniti yang selari dengan aspirasi kemampanan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) institusi berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Ikhlas, Prof Dr Azmi Md Nor dalam kenyataan sama berkata, kerjasama strategik antara organisasi kebajikan dan sektor korporat mampu menghasilkan impak besar kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, penyediaan sistem air bersih dan kemudahan tenaga solar membolehkan penduduk menikmati kemudahan asas yang lebih baik sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Beliau berkata, sehingga kini, Yayasan Ikhlas melaksanakan 19 Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan 19 Projek Tenaga Solar di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah.

“Yayasan Ikhlas akan terus memperluas usaha pembangunan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan akses kepada kemudahan asas dan infrastruktur mampan,” katanya.

RHB Islamic Bank dan Yayasan Ikhlas menerusi projek sama turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 keluarga penerima manfaat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top