Yala: Seorang lelaki warga Malaysia maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di kawasan Bannang Sareng, daerah Mueang Yala, pada petang Sabtu.
Ketua Polis Mueang Yala, Kolonel Polis Chatchai Sakdee, berkata siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal motosikal yang dinaiki sebelum merempuh tiang elektrik.
“Pembonceng motosikal berusia 20 tahun dari Perlis meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala penunggang berusia 22 tahun dari Kuala Kedah, Kedah mengalami cedera parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Chatchai berkata mangsa yang cedera kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pusat Yala dan masih tidak sedarkan diri.
Sementara itu, pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla yang mengesahkan kewarganegaraan kedua-dua mangsa memaklumkan pihaknya masih menunggu waris tampil bagi menguruskan dokumentasi berkaitan mangsa yang meninggal dunia.
Difahamkan, kedua-dua mangsa merupakan pelajar tahfiz di Pondok Padang Pusu, daerah Yarang, Pattani, dan sedang dalam perjalanan ke pusat pengajian berkenaan sebelum kemalangan itu berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd




