Pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir oleh Datuk Mubarak Dohak, semalam, tidak boleh diterima dan diiktiraf kerana beliau bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, selain tidak mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak, tindakan berkenaan tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
“Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lepas telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10, selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Aminuddin, ia selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong
Beliau turut menjelaskan bahawa fungsi DKU Negeri Sembilan sebagai badan penasihat perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu termasuk soal pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak yang empat seperti diperuntukkan dalam Perkara 16 UUTKNS.
Katanya, ini termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang Undang Luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14(3) UUTKNS.
“Nasihat penerimaan oleh DKU terhadap pemberhentian penyandang pesaka Datuk Undang Luak di Negeri Sembilan juga pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol ke-14 Datuk Mohammad Jan Abdul Ghani diberhentikan pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol,” katanya.
Jumaat lalu, DKU menerima pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Undang Luak Sungei Ujong susulan sidang khas yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah yang dipengerusikan Tuanku Muhriz.
Aminuddin dilaporkan berkata pada sidang khas itu, Tuanku Muhriz menguatkuasakan Fasal 24 UUTKNS 1959 dengan menjemput Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu untuk turut bersama ke sidang khas berkenaan.




