am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan harga barangan, jaminan bekalan serta mengelakkan ketirisan barangan subsidi daripada terus berlaku.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam satu kenyataan berkata, meskipun tidak sentiasa mendapat perhatian umum, sumbangan anggota KPDN dirasai rakyat setiap hari, khususnya dalam memastikan hak pengguna terus terpelihara.
Katanya, beliau mengucapkan penghargaan kepada barisan penguat kuasa sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54, hari ini.
“Tidak semua wira berada di hadapan lensa, namun jasa mereka dirasai setiap hari. Ketika rakyat menikmati harga barangan keperluan yang stabil dan terkawal, bekalan terjamin serta barangan subsidi sampai kepada golongan sasar, di situlah peranan besar barisan penguat kuasa KPDN,” katanya dalam satu kenyataan melalui hantaran sosial media, semalam.
Beliau berkata, anggota penguat kuasa sentiasa komited menjalankan tugas di lapangan tanpa mengira masa, termasuk memeriksa, memantau serta mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan.
“Dedikasi dan integriti yang ditunjukkan wajar dihargai kerana menjadi benteng utama dalam melindungi kepentingan rakyat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga penguat kuasa KPDN atas keteguhan, keberanian dan integriti dalam memikul amanah ini.
“Teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesionalisme. Selamat Menyambut Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54. “Komited Mendepani Cabaran”,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




