
Fahmi (kiri) pada sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri pada Isnin.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan terhadap sebarang aduan berkaitan kandungan atau pautan berunsur judi dalam talian menjelang kempen Piala Dunia 2026 yang bermula Khamis ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, orang ramai disaran menyalurkan aduan kepada suruhanjaya itu sekiranya menemui kandungan berkaitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“Seperti yang kita ketahui, judi dalam talian tidak dibenarkan dalam negara dan sekiranya MCMC menerima aduan, maka tindakan boleh diambil.
“Tindakan sama juga boleh dikenakan terhadap portal perjudian dalam talian yang didapati melanggar peraturan,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan, sindiket aktiviti pertaruhan atau ‘bookie’ haram dikesan mencari pelbagai kaedah mempromosi judi sempena Piala Dunia 2026.
Ia termasuk trend menjadikan pempengaruh media sosial untuk mempromosikan kegiatan itu.
Beliau menjelaskan, trend pertaruhan kini beralih daripada kaedah konvensional kepada platform digital dengan hampir 90 peratus aktiviti pertaruhan dijangka dilakukan secara dalam talian yang membolehkan pertaruhan dibuat 24 jam sehari tanpa sempadan fizikal.




