Prabowo kecewa Indonesia gagal ke Piala Dunia, meskipun penduduk hampir 300 juta

Prabowo kecewa Indonesia gagal ke Piala Dunia, meskipun penduduk hampir 300 juta

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meluahkan kekecewaan kerana negara berpenduduk hampir 300 juta orang masih gagal melayakkan diri ke Piala Dunia, sedangkan negara kecil seperti Cape Verde berjaya menempah tempat ke kejohanan berprestij itu.

Prabowo berkata, keadaan tersebut perlu dijadikan bahan untuk bermusahabah diri dan bukan alasan untuk mengeluh atau mencari pihak lain untuk dipersalahkan.

“Kita negara dengan jumlah penduduk keempat terbesar di dunia, hampir 300 juta, 287 juta rakyat kita.

“Tetapi saya sangat sedih, terus terang saja, masalah bola sepak pun kita tidak mampu masuk Piala Dunia,” katanya ketika bertemu 150 penyelidik Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) di Istana Kepresidenan, Jakarta baru-baru ini.

Beliau kemudian membandingkan jumlah penduduk Indonesia dengan Cape Verde yang mempunyai kira-kira 500,000 penduduk tetapi berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia.

“Ini fakta yang tidak enak. Masa negara kecil seperti Cape Verde boleh masuk, sedangkan kita tidak,” katanya.

Menurut Prabowo, kejayaan negara lain perlu dikaji bagi mengenal pasti strategi yang membolehkan mereka mencapai kejayaan dalam bola sepak.

“Kita harus muhasabah dan menilai diri. Tidak ada gunanya kita mengeluh. Saya ambil contoh bola sepak, tetapi banyak lagi perkara lain yang boleh kita lihat,” katanya.-Agensi

Scroll to Top