PRN: Golongan profesional, bekas penjawat awam kanan tawar diri jadi calon Bersama

PRN: Golongan profesional, bekas penjawat awam kanan tawar diri jadi calon Bersama

KOTA BHARU – Golongan profesional termasuk bekas penjawat awam kanan antara yang menawarkan diri untuk menjadi calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pemimpin parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sambutan yang diterima di luar jangka apabila ramai individu berkelayakan tampil secara sukarela melalui proses permohonan yang dibuka parti tersebut.

Menurutnya, calon-calon berkenaan melalui proses saringan dan temu duga yang dikendalikan secara digital sebelum dipertimbangkan untuk bertanding.

“Saya sendiri meneliti satu persatu permohonan dan rakaman temu duga yang dihantar.

“Hampir semua yang tampil bukan orang politik tetapi rakyat biasa yang mempunyai latar belakang profesional dan pengalaman kerja yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Kancil di Pantai Cahaya Bulan di sini pada Sabtu.

Para penyokong Bersama yang hadir pada jelajah parti itu di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Para penyokong Bersama yang hadir pada jelajah parti itu di Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Beliau berkata, bagi PRN Johor, proses tapisan calon selesai dan parti itu yakin barisan yang bakal diumumkan mampu mengejutkan banyak pihak.

Menurutnya, calon yang dipilih terdiri daripada gabungan golongan profesional, individu berpengalaman dalam politik serta mereka yang aktif dalam komuniti.

“Kita melihat latar belakang pendidikan, kerjaya, penglibatan masyarakat dan kemampuan mereka menyelesaikan masalah rakyat.

“Insya-ALLAH apabila diumumkan nanti, orang ramai akan melihat kualiti calon-calon Bersama setanding, malah lebih baik daripada parti yang sudah lama bertapak,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan wujud keyakinan dalam kalangan kelompok profesional terhadap perjuangan yang dibawa oleh parti tersebut.

“Sambutan daripada golongan profesional, intelektual serta bekas pegawai tinggi kerajaan sangat menggalakkan.

“Mereka melihat Bersama sebagai platform yang lebih menumpukan soal integriti, kepimpinan masa depan dan penyelesaian masalah rakyat berbanding perebutan kuasa politik,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran golongan berpengalaman itu turut menepis dakwaan bahawa Bersama hanya mendapat sokongan daripada kelompok tertentu sahaja.

“Sambutan yang diterima setakat ini menunjukkan sokongan paling memberangsangkan datang daripada pengundi Melayu termasuk golongan profesional dan penjawat awam,” katanya.

Scroll to Top