TANGGA BATU – Pendidikan menjadi antara jalan terbaik untuk mengubah nasib keluarga berpendapatan rendah (B40), khususnya dengan melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran dan peluang pekerjaan lebih baik.Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin berkata, golongan muda perlu diberikan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri bagi membantu meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.Menurutnya, pendekatan itu penting kerana generasi muda berupaya menjadi pemangkin perubahan ekonomi keluarga.”Kalau kita nak keluar daripada kemiskinan, pendidikan itu paling penting.”Kita mahu melatih tenaga mahir dalam kalangan anak muda supaya mereka mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing, terutama menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.”Apabila mereka mempunyai kemahiran dan pendapatan yang baik, mereka boleh membantu keluarga,” katanya selepas mengadakan kunjungan di rumah penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) daripada keluarga B40 di Krubong di sini pada Isnin.Mengulas mengenai bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah, Azman berkata, pelbagai kemudahan dan program bantuan kerajaan menerusi agensi berkaitan sudah disediakan, namun masih terdapat golongan sasaran yang tidak mengetahui kewujudannya.Justeru, beliau mahu berperanan sebagai penghubung antara penduduk Paya Rumput dengan agensi kerajaan bagi memastikan mereka mendapat maklumat serta akses kepada bantuan yang layak diterima.Beliau turut mengambil contoh Program Sulung di UMK yang menyediakan pembiayaan kepada penuntut daripada keluarga yang pertama kali menghantar anak ke universiti berkenaan.”Program sebenarnya sudah ada, tetapi orang tidak tahu. Jadi, saya mahu membuka ruang dan mendedahkan mereka kepada peluang yang disediakan termasuk dengan membawa agensi berkaitan ke Paya Rumput untuk memberi penerangan,” katanya.Dalam pada itu, Azman berkata, pembangunan TVET juga perlu diberi penekanan bagi memastikan Melaka mampu menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan pelabur, khususnya dalam sektor industri berteknologi tinggi.Katanya, ketersediaan tenaga kerja tempatan berkemahiran menjadi antara faktor penting yang dipertimbangkan pelabur sebelum membuat keputusan untuk melabur di sesebuah negeri.”Kita tidak boleh hanya bergantung kepada peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan. Pelaburan swasta, sama ada dari dalam atau luar negara, perlu dipertingkatkan kerana daripada situlah peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan.”Kalau kita mahu menarik syarikat besar seperti Google, kita perlu menyediakan persekitaran dan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran bersesuaian,” katanya.Beliau berkata, Melaka masih mempunyai ruang industri dan tanah yang boleh dibangunkan bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat.
PRN Melaka: Azman mahu perluas akses pendidikan, latihan kemahiran untuk B40