MELAKA – MCA Melaka menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya BN bergerak solo tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH).
Naib Pengerusi MCA Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pada PRN lalu parti itu turut bertanding di tujuh kerusi dan berhasrat jumlah itu dapat dikekalkan.
“PRN lepas kita bertanding tujuh kerusi. Kekal angka itu atau tidak, kita tunggu keputusan Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Perkara ini belum dibincangkan lagi.
“Kalau ikut MCA, kita memang mahu bertanding tujuh kerusi jika BN bertanding solo, tapi jika PH-BN bekerjasama dalam PRN, kita menyerahkan penentuan jumlah kerusi itu kepada Ab Rauf,” katanya di Japerun Machap Jaya pada Rabu.
Untuk rekod MCA meletakkan calon di tujuh kerusi DUN Melaka pada PRN 2014 iaitu Klebang, Kesidang, Machap Jaya, Bemban, Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
MCA hanya menang dua kerusi iaitu di DUN Klebang dan Machap Jaya.



