
Akmal Nasrullah pada sidang akhbar selepas Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru yang diadakan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda pada Sabtu.
JOHOR BAHRU – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mempunyai kebebasan untuk menyertai parti baharu bagi kelangsungan karier politiknya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan tindakan itu selari dengan sistem demokrasi yang sudah lama diawalkan di negara ini.
“Saya yakin masing-masing ada ruang untuk terlibat (mana-mana parti politik) mengikut pembawaan yang sesuai dengan yang dipilih mereka.
“Perkara ini menunjukkan komitmen kita untuk terus memperkukuhkan budaya politik yang lebih matang,” katanya ketika ditanya mengenai kewujudan parti Bersama oleh Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sebelum itu, Akmal Nasrullah yang juga Menteri Ekonomi hadir pada Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru yang diadakan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini, pada Sabtu.
Ketika ditanya sama ada beliau akan meningggalkan PKR susulan langkah diambil Rafizi itu, Ahli Parlimen Johor Bahru itu hanya tersenyum dan tidak menjawab.
“Memang nakal ni reporter ni,” kata itu sambil tersenyum.
Akmal Nasrullah sebelum ini dilihat sebagai antara pemimpin PKR yang rapat dengan kem Rafizi, dimana beliau tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru tahun lalu, namun mengekalkan kedudukannya dalam kepimpinan pusat sebagai ahli MPP.
Pada 17 Mei, Rafizi dan Nik Nazmi mengambil alih parti Bersama iaitu sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.



