KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menziarahi dan menyampaikan sumbangan awal daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada mangsa kebakaran di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis di sini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sebanyak lapan buah keluarga kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datin Marzita Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda dipersembah taklimat oleh Pengarah Bomba negeri, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.
Tuanku Syed Faizuddin meluangkan masa beramah mesra dengan setiap keluarga mangsa bagi menzahirkan ucapan takziah serta menyerahkan bantuan kecemasan MAIPs.
Baginda bertitah, masyarakat digesa memeriksa sistem pendawaian elektrik rumah secara berkala bagi mengelakkan litar pintas.
“Sentiasa matikan suis dan cabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan sebelum keluar rumah, serta elakkan menggunakan soket secara berlebihan.
“Kikis sikap ‘3L’ iaitu Lupa, Lalai, dan Leka, terutamanya ketika memasak atau mengendalikan bahan mudah terbakar.
“Kesedaran awal ini sangat penting bagi melindungi keselamatan nyawa dan harta benda jiran tetangga,” titah baginda.
MAIPs bersama JKM kini sedang menyelaraskan bantuan susulan, untuk kesemua mangsa yang terjejas.-UTUSAN




