ISTANBUL – Pendakwa raya Perancis membuka siasatan kes bunuh selepas mayat dan sisa rangka lima bayi ditemukan di rumah satu pasangan di Bandar Orange, selatan negara itu, susulan kelahiran seorang bayi sihat oleh wanita berkenaan.
Pejabat Pendakwa Raya Carpentras memaklumkan siasatan itu membabitkan kes “pembunuhan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun”, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik akhbar tempatan Le Parisien pada Selasa.
Penemuan itu dibuat semasa pemeriksaan polis kehakiman di pangsapuri pasangan berkenaan selepas pasangan lelaki wanita itu membawa mayat bayi yang telah mereput ke Hospital Orange, sekali gus mendorong kakitangan perubatan memaklumkan perkara berkenaan kepada pendakwa raya.
Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, wanita berumur 32 tahun berkenaan melahirkan bayi pada Isnin malam susulan apa yang diperihalkan sebagai kehamilan tersembunyi atau tidak diiktiraf bagi kali ketiga.
Pasangannya, yang dilaporkan tiada di rumah semasa wanita itu pergi ke hospital akibat sakit perut, membuat pemeriksaan pada kotak yang disimpan di pangsapuri mereka selepas berlaku perselisihan faham antara mereka berhubung kandungannya, sebelum menemukan mayat bayi yang telah mereput itu.
Dalam pemeriksaan susulan di pangsapuri berkenaan, penyiasat menemukan sisa rangka empat lagi bayi yang disimpan di dalam kotak, menurut pendakwa raya.
“Pakar patologi forensik yang dihantar ke tempat kejadian merumuskan, berdasarkan pemerhatian awal, bahawa sisa rangka dan mayat yang mereput itu milik lima bayi,” kata pejabat pendakwa raya.
Lelaki berkenaan yang disoal siasat secara sukarela memberitahu penyiasat bahawa beliau tidak mengetahui sebarang kemungkinan kehamilan melibatkan pasangannya.
Wanita itu masih dirawat di hospital dan belum disoal siasat.
Pihak berkuasa telah mengarahkan bedah siasat dilakukan ke atas mayat bayi yang mereput itu, manakala sisa rangka akan menjalani analisis antropologi.
Pejabat pendakwa raya memaklumkan dua anak pasangan itu telah dirujuk kepada perkhidmatan kebajikan kanak-kanak untuk penilaian segera.
Satu perintah perlindungan sementara turut dikeluarkan bagi bayi yang baharu lahir itu sementara menunggu rujukan kepada hakim mahkamah juvana. – Bernama



