RINGGIT kekal ditutup kukuh berbanding dolar AS hari ini apabila angka pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lemah menjejaskan prestasi dolar AS.
Pada 6 petang, mata wang tempatan kekal pada 4.0885/0930 berbanding dolar AS, tidak berubah sejak Jumaat minggu lepas.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data utama jumlah pekerja bergaji bukan ladang AS menunjukkan bahawa pekerjaan merosot sebanyak 23,000 pada Julai.
“Dalam hal ini jelas sekali, tiada kenaikan kadar faedah dijangkakan pada September, kerana pasaran buruh yang lemah akan membantu meredakan tekanan inflasi.
“Justeru, laporan Indeks Harga Pengguna AS yang akan dikeluarkan pada Rabu ini penting bagi ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan untuk menilai keadaan ekonomi apabila mereka bermesyuarat pada 15-16 September depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5736/5766 daripada 2.5813/5843 pada Jumaat minggu lepas, tetapi susut berbanding euro kepada 4.7247/7299 daripada 4.7132/7184 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.5170/5231 daripada 5.4949/5010 sebelumnya.
Ringgit turut menyusut berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1961/2002 daripada 3.1911/1949 pada Jumaat minggu lepas, susut berbanding baht Thai kepada 12.3894/4079 daripada 12.3665/3843, berkurangan berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.74 daripada 6.71/6.72 dan menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 230.2/230.6 daripada 228.4/228.7 sebelumnya.- Bernama
