PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menetapkan sasaran nilai jualan RM30 juta menerusi Pelan Strategik RisSMart 2030 bagi memperkasa ekonomi desa secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
RISDA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sasaran itu diumumkan sempena Majlis Perasmian RisSMart Grocer yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Urban Eats@Kwasa Damansara, di sini pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, majlis berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan RISDA dalam memperkukuh pembangunan desa selaras Aspirasi Desa MADANI serta agenda Ekonomi Desa Nasional.

RISDA menetapkan sasaran nilai jualan RM30 juta menerusi Pelan Strategik RisSMart 2030 – Foto: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB
“RISDA terus memainkan peranan signifikan dalam memperkasa kira-kira 508,000 pekebun kecil getah di seluruh negara, bukan sahaja dalam sektor komoditi.
“Malah, merangkumi keusahawanan, agromakanan, pemasaran dan penerokaan peluang ekonomi baharu bagi memastikan sumber pendapatan lebih pelbagai, stabil dan mampan,” menurut kenyataan itu.
Hadir sama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar serta Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
RISDA memaklumkan bahawa di bawah pelan strategik itu, pihaknya menyasarkan pembangunan ekosistem peruncitan dan pemasaran holistik meliputi 1,000 variasi produk usahawan, 25 produk jenama RisSMart serta pembukaan 50 outlet domestik dan lima outlet global, selain 15 francais.
Menurut kenyataan itu, pelan berkenaan turut merangkumi pembangunan satu pusat pengedaran, hab pemprosesan dan pangkalan data bagi menyokong sistem pemasaran bersepadu berteraskan teknologi, logistik dan pendigitalan.
“Pembukaan RisSMart Grocer adalah langkah penting dalam memperluas akses pasaran produk usahawan desa melalui platform peruncitan moden yang menghubungkan pengeluar terus kepada pengguna,” menurut RISDA.

Ahmad Zahid diiringi Manndzri menyempurnakan Majlis Perasmian RisSMart Grocer pada Ahad. – Foto: SINAR HARIAN /ROSLI TALIB
Sehingga kini, RISDA memaklumkan sebanyak 265 variasi produk keluaran usahawan bimbingannya merangkumi makanan segar, sejuk beku dan barangan keperluan harian telah dipasarkan di pasar raya itu dan jumlah berkenaan akan terus dipertingkatkan.
Menurut kenyataan sama, usahawan turut dibimbing secara sistematik dalam aspek penjenamaan, pembungkusan, pematuhan piawaian keselamatan makanan termasuk pensijilan halal, strategi pemasaran serta pengurusan rantaian bekalan.
RISDA berkata bahawa melalui anak syarikatnya, RISDA Agrifood Industries Sdn. Bhd. (RAFI), pihaknya kini mengoperasikan 14 outlet RisSMart24 dan tiga outlet RisSMart Butchery bagi memperkukuh kehadiran jenama itu dalam sektor peruncitan moden berasaskan komuniti.
“Pengukuhan ekosistem RisSMart ini diyakini mampu memperluas pasaran produk, meningkatkan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh daya saing produk desa, sekali gus mengangkat martabat komuniti pekebun kecil,” tambah kenyataan itu.



