aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengalaman luas dimiliki Speedy Tigers belum cukup untuk menjamin tiket ke suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia 2026 apabila corak permainan negara dikatakan masih tidak banyak berubah sejak enam tahun lalu.
Bekas pemain kebangsaan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000, Maninderjit Singh melontarkan pandangan dan berkata, berdasarkan prestasi semasa dan rekod pertemuan dengan lawan dalam Kumpulan B, sasaran mara ke kelompok lapan terbaik bukan sesuatu yang realistik.
“Kalau bercakap berdasarkan fakta, kita memang memiliki antara skuad paling matang di kejohanan ini. Lebih 2,000 kap antarabangsa dimiliki barisan pemain dan 10 pemain sudah melepasi 100 kaps, manakala 12 pemain pernah beraksi dalam dua edisi Piala Dunia.
“Tetapi pengalaman sahaja tidak mencukupi. Corak permainan kita masih hampir sama seperti enam tahun lalu, sedangkan pasukan seperti Jerman, Belgium dan Perancis sentiasa berevolusi mengikut tuntutan hoki moden,” katanya kepada Harian Metro.
Maninderjit berkata, rekod pertemuan semasa turut menunjukkan jurang yang masih wujud antara Malaysia dengan tiga pencabar dalam kumpulan itu.
“Jerman menewaskan Malaysia 5-3 pada Piala Dunia 2018 sebelum menang lagi 4-2 dalam aksi ujian tahun lalu. Belgium pula membelasah Malaysia 9-1 pada Piala Sultan Azlan Shah, manakala Perancis menundukkan kita 1-3 pada Piala Negara-Negara FIH 2024.
“Daripada keputusan itu kita dapat lihat tahap sebenar pasukan bakal dihadapi. Sebab itu saya kata sasaran ke suku akhir bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Menurutnya, hoki moden kini bukan lagi bergantung kepada pengalaman semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh kekuatan taktikal, corak tekanan, variasi pukulan sudut penalti, pertahanan serta kedalaman skuad.
“Saya berpandangan sasaran yang lebih realistik adalah menamatkan saingan dalam kelompok 12 terbaik dunia. Berdasarkan kekuatan kumpulan yang dihadapi, itu sudah boleh dianggap satu pencapaian yang baik.
“Paling penting, pasukan perlu menunjukkan perubahan dalam cara bermain. Kalau masih menggunakan pendekatan sama, jurang dengan pasukan elit dunia akan terus melebar,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Jerman, bekas juara dunia Belgium dan Perancis pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Belgium dan Belanda, bulan depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




