
Kamarudin
KOTA BHARU – Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor menegaskan beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan berbanding memikirkan perkembangan politik semasa.
Menurut beliau, keputusan penamatan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas merupakan perkara yang diputuskan di peringkat pusat dan berada di luar kawalannya sebagai pemimpin negeri.
“Saya fokus kepada kerja saya iaitu mempromosikan Kelantan dalam bidang pelancongan.
“Perkara seperti ini sewajarnya menjadi perhatian juga, tetapi saya berpandangan banyak perkara dalam politik bukan dalam kawalan kita, apatah lagi kita di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Program Sambutan Pelancong Sempena Penerbangan Sulung AirAsia dari Jakarta ke Kota Bharu di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini pada Selasa.
Ujar beliau, kedudukannya sebagai Exco diserahkan sepenuhnya kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud kerana pelantikan tersebut dibuat atas cadangan ketua kerajaan negeri itu sebelum diperkenankan Sultan Kelantan.
“Kedudukan saya serah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Pelantikan Exco ini dibuat atas cadangan beliau dan diperkenankan Tuanku Sultan.
“Saya ada berjumpa beliau beberapa hari lalu dan beliau mengarahkan saya supaya terus menjalankan tugas seperti biasa. Itulah yang saya lakukan,” katanya.
Mengulas dakwaan kemungkinan berlaku layanan berbeza terhadap beliau susulan perkembangan politik semasa, Kamarudin memberitahu, perkara itu tidak berlaku malah beliau terus diberikan kepercayaan menganggotai beberapa jawatankuasa penting kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, tidak ada diskriminasi. Bahkan saya boleh katakan saya menerima layanan yang baik.
“Walaupun portfolio saya berkaitan pelancongan dan kebudayaan, Menteri Besar turut melantik saya dalam beberapa jawatankuasa penting seperti perancangan negeri, kewangan dan pembangunan fizikal.
“Pengalaman yang saya miliki sebelum ini membantu dalam jawatankuasa-jawatankuasa tersebut,” katanya.



