Selat Melaka penghubung lautan dunia

Selat Melaka penghubung lautan dunia

SELAT Melaka merupakan laluan air strategik yang menghubungkan Laut Andaman di Lautan Hindi dengan Laut China Selatan di Lautan Pasifik, menjadikannya antara laluan perdagangan maritim paling penting di dunia.

Selat sepanjang kira-kira 800 kilometer (km) itu terletak di antara Pulau Sumatera, Indonesia di sebelah barat dengan Semenanjung Malaysia serta bahagian selatan Thailand di sebelah timur.

Nama Selat Melaka berasal daripada pelabuhan Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan utama dunia pada abad ke-16 dan ke-17 ketika rantau itu berkembang sebagai hab perdagangan antarabangsa.

Dengan keluasan kira-kira 65,000 kilometer persegi, bentuk selat itu menyerupai corong dengan bahagian selatan lebih sempit sekitar 65km sebelum melebar ke arah utara sehingga kira-kira 250km.

Kedudukan geografinya menjadikan Selat Melaka laluan paling singkat antara India dan China, sekali gus menjadi antara laluan kapal paling sibuk di dunia.

Setiap tahun, ribuan kapal dagang termasuk kapal tangki minyak gergasi menggunakan laluan tersebut untuk membawa bekalan tenaga dari rantau Asia Barat ke Jepun, China dan negara Asia Timur yang lain.

Selain menjadi laluan penting perdagangan minyak dunia, Selat Melaka turut memainkan peranan besar dalam pergerakan barangan global kerana menghubungkan pusat ekonomi utama Asia dengan pasaran antarabangsa.

Kepentingan strategik selat itu turut dipengaruhi oleh kedudukan Singapura yang terletak di hujung selatan laluan berkenaan. Negara itu menjadi antara pelabuhan paling penting di dunia hasil kedudukannya yang berhampiran laluan perdagangan utama.

Dari sudut geologi, Selat Melaka terbentuk di atas Pentas Sunda yang pernah menjadi kawasan daratan luas sebelum ditenggelami peningkatan paras laut selepas zaman ais berakhir kira-kira ribuan tahun lalu.

Kawasan sekitar selat turut mempunyai kawasan paya bakau yang luas, khususnya di pesisir timur Sumatera serta beberapa kawasan pantai di Semenanjung Malaysia.

Keadaan iklim di Selat Melaka pula dipengaruhi oleh monsun timur laut dan monsun barat daya dengan suhu permukaan laut sekitar 30 hingga 31 darjah Celsius sepanjang tahun.

Pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21, aktiviti penerokaan minyak turut berkembang di kawasan berhampiran pantai timur Sumatera menjadikan selat itu semakin penting dalam industri tenaga serantau.

Selain kepentingan ekonomi, Selat Melaka turut mempunyai nilai geopolitik kerana sebarang gangguan terhadap laluan berkenaan berpotensi memberi kesan besar kepada perdagangan dan rantaian bekalan global.

Kedudukannya yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan menjadikan Selat Melaka bukan sekadar laluan perkapalan, tetapi aset strategik yang menjadi perhatian kuasa ekonomi dan maritim dunia.

 

Scroll to Top