Shopee perkukuh sokongan PMKS, tawar insentif kepada penjual baharu

Shopee perkukuh sokongan PMKS, tawar insentif kepada penjual baharu

KUALA LUMPUR – Shopee memperkukuh komitmennya dalam menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif baharu di bawah program Shopee Lindung Niaga.

Penambahbaikan terkini itu memberi tumpuan kepada usaha membantu lebih ramai usahawan memulakan perniagaan dalam talian, mengurangkan kos operasi serta memperluas peluang pertumbuhan jangka panjang.

Naib Presiden Shopee Malaysia, Ian Ho berkata, syarikat itu terus melabur dalam penyelesaian dan sokongan praktikal bagi membantu perniagaan berkembang dalam persekitaran yang semakin kompetitif.

“Justeru, kami terus melabur dalam penyelesaian dan sokongan praktikal yang membantu perniagaan memulakan operasi, berkembang dengan yakin serta beroperasi dengan lebih cekap,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan lebih ramai usahawan menyertai ekonomi digital, Shopee menambah baik Program Penjual Baharu menerusi pengecualian Yuran Sokongan Platform selama 60 hari bagi penjual yang layak.

Selain itu, had pesanan sebelum yuran komisen dikenakan turut ditingkatkan daripada 100 kepada 200 pesanan, sekali gus memberi lebih masa kepada penjual untuk membina asas pelanggan dan mengembangkan perniagaan.

Shopee juga memperkenalkan kadar komisen lebih rendah bagi kategori barangan keperluan harian terpilih seperti susu, air mineral, bijirin, roti dan telur. Inisiatif itu bertujuan membantu penjual mengurus kos operasi dengan lebih baik selain memastikan produk keperluan harian kekal kompetitif untuk pengguna.

Menurut Shopee, kadar komisen bagi lebih 60 kategori barangan keperluan harian akan dikurangkan antara 0.5 peratus hingga 9.0 peratus. Pengurangan terbesar melibatkan kategori Keperluan Memasak, Krimer serta Mentega dan Marjerin.

Shopee terus melabur dalam penyelesaian dan sokongan praktikal bagi membantu perniagaan berkembang.

Shopee terus melabur dalam penyelesaian dan sokongan praktikal bagi membantu perniagaan berkembang.

Dengan langkah tersebut, jumlah kategori barangan keperluan harian yang menikmati kadar komisen lebih rendah kini melebihi 120 kategori. Selain membantu meningkatkan keuntungan penjual, inisiatif itu turut memberi lebih fleksibiliti kepada mereka untuk melabur semula dalam pengembangan perniagaan.

Bagi merangsang permintaan pengguna, Shopee turut menganjurkan Kempen Diskaun Barangan Keperluan Harian yang berlangsung dari 7 hingga 31 Julai 2026. Kempen itu menawarkan baucar diskaun antara 20 peratus hingga 50 peratus kepada pembeli bagi kategori produk terpilih.

Dalam usaha membuka lebih banyak peluang pertumbuhan, Shopee turut menawarkan tambahan 50 peratus Kredit Iklan Percuma melalui program Ads Startup Booster (ASB). Program itu direka bagi membantu penjual meningkatkan keterlihatan produk dan memperluas capaian pelanggan pada peringkat awal perniagaan.

Data dalaman Shopee menunjukkan penjual yang mula menggunakan Shopee Ads mencatat peningkatan 18 peratus dalam jumlah paparan, 10 peratus dalam klik dan 25 peratus dalam Nilai Kasar Barangan (GMV).

Selain itu, penjual baharu yang menyertai perkhidmatan Fulfilled by Shopee (FBS) akan menikmati pengecualian komisen, sekali gus mengurangkan kos permulaan dan membolehkan mereka memanfaatkan kemudahan gudang serta logistik bersepadu yang disediakan platform itu.

Dalam pada itu, Ian berkata Shopee akan terus memperkukuh ekosistem e-dagang tempatan melalui pelaburan berterusan dalam penyelesaian, teknologi dan sokongan yang dapat membantu perniagaan berkembang mengikut keperluan masing-masing.

“Sama ada usahawan baharu memulakan perniagaan dalam talian, mengembangkan operasi sedia ada atau memanfaatkan teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti, Shopee akan terus menyokong pertumbuhan perniagaan pada setiap peringkat, sambil menawarkan nilai dan kemudahan yang lebih baik kepada para pembeli,” katanya.

Scroll to Top